Anda di sini

PBM sokong penuh Kerajaan Perpaduan Anwar

Advertisement
 

SIBU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyokong penuh pembentukan Kerajaan Perpaduan. 

Presidennya Datuk Larry Sng Wei Shien (gambar) berkata, inklusiviti adalah cara terbaik untuk membawa negara melangkah ke hadapan.

Katanya, Kerajaan Perpaduan menggabungkan semua pemimpin dan mengetepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

"Inklusiviti adalah cara terbaik untuk negara di mana kepentingan semua kaum, agama dan wilayah diberi pertimbangan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Katanya, beliau yakin dengan bersama dalam satu kerajaan, negara akan memiliki pemimpin terbaik untuk menangani isu-isu kompleks.

"Dan paling penting, isu ekonomi yang sedang dihadapi negara ketika ini," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu telah diadakan pagi semalam di Istana Negara sebagai usaha terakhir Yang di-Pertuan Agong merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.
 

  • oleh
  • Advertisement