Anda di sini

PRU15: Parlimen tergantung dan peranan Akta Anti-Lompat Parti

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, tidak menghalang Ahli Parlimen daripada mana-mana parti untuk memberi sokongan kepada mana-mana gabungan dipilihnya secara individu bagi membentuk kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik Dr Md Shukri Shuib berkata sama seperti nama akta itu yang lebih dikenali sebagai Akta Anti-Lompat Parti, ia hanya memberi kesan kepada Ahli Parlimen yang membuat tindakan lompat parti atau keluar daripada partinya sendiri.

"Dia (Ahli Parlimen) tidak boleh keluar parti. Pada masa sama, kalau dia dipecat parti, maka Akta Anti- Lompat Parti tidak beri kesan kepada dia. Cumanya pemecatan itu akan beri kesan kepada parti. Parti itu akan hilang jumlah kerusi yang dimenanginya (parti), inilah yang sedikit rumit,” katanya kepada Bernama.

Akta yang dikenali Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dikuatkuasakan mulai 5 Okt lepas.

Keputusan PRU15 Sabtu lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

Pada PRU itu, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (BN) (73), Barisan Nasional (BN) (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam) dan Warisan (tiga).

Pilihan raya dua kerusi Parlimen iaitu Padang Serai di Kedah akan diadakan 7 Dis ini selepas calon PH, yang juga penyandang M. Karupaiya meninggal dunia pada 16 Nov, manakala di Parlimen Baram, Sarawak pengundian di 12 pusat pengundian digantung berikutan cuaca buruk.

Menurut Suruhanjayan Pilihan Raya (SPR), keputusan bagi Parlimen Baram dijangka diketahui hari ini, bergantung kepada proses pengiraan undi dan keadaan cuaca.

Susulan keputusan PRU15 itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang memperoleh jumlah kerusi yang banyak memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti serta menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang esok. 

Terdapat desas-desus mendakwa sebilangan Ahli Parlimen BN cenderung kepada PH dan selebihnya kepada PN, justeru timbul persoalan sekiranya ini berlaku, apakah peranan Akta Anti-Lompat Parti?

Md Shukri, yang merupakan pensyarah Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia berkata dalam konteks ini Pengerusi BN perlu menyelesaikan masalah dalaman dengan mengadakan perbincangan sesama ahli mereka sendiri.

"Mereka yang tidak menyokong 'gerakan' pengerusi tidak boleh lompat dan pengerusi juga sudah tentu tidak mahu memecat mereka dan kehilangan jumlah kerusi parti. Ini boleh mewujudkan kepincangan di dalam parti," katanya.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan terdapat tiga jenis tindakan lompat parti yang boleh menyebabkan kekosongan kerusi Parlimen yang disandang mereka.

"Satu, individu dari parti A, tukar ke parti B; kedua dia bebas dan dia pilih parti; atau ketiga dia dari parti A dan pergi ke Bebas. Ini sahaja yang akan menyebabkan kerusi dia kosong,” katanya

Menurutnya, jika terdapat tindakan sedemikian, Ahli Parlimen yang lain perlu memberi notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kemudiannya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengenai kekosongan kerusi Parlimen itu.  

"Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan memaklumkan kepada SPR dalam masa 21 hari dari tarikh dia menerima notis kekosongan dan tempat yang kosong itu perlu dibuat pilihan raya semula," katanya.

Bagaimanapun, Shamrahayu berkata jika Ahli Parlimen itu dipecat daripada parti, dia kekal sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata di bawah akta itu, tidak ada masalah sekiranya keseluruhan parti (en bloc) itu menyokong parti yang lain, namun lain ceritanya jika ia hanya melibatkan sebahagian atau individu.

"Ini yang saya faham. Seseorang individu kalau nak keluar parti kena kosongkan kerusinya. Secara automatiknya kalau dia pula dipecat, kena kekal bebas, dia tidak boleh masuk parti lain, tetapi dia boleh menyokong parti lain, tidak ada masalah," katanya.

Dalam keadaan Parlimen tergantung sekarang, Sivamurugan melihat penyelesaian terbaik adalah dengan mewujudkan kerajaan perpaduan.

Ini katanya sebagaimana pembentukan Majlis Gerakan Negara yang mentadbir negara ketika darurat susulan peristiwa 13 Mei 1969 yang akhirnya berjaya meredakan suhu politik negara pada ketika itu.

"Apabila tiada sesiapa yang mendapat majoriti mudah, keadaan tidak menentu seperti sekarang ini boleh berpanjangan. Untuk elak itu kita bawa semua, baik PH, PN, BN, GPS, GRS mereka ini diambil membentuk kerajaan supaya menstabilkan negara dan dipilih seorang perdana menteri dalam kalangan mereka,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement