Anda di sini

Rompak kedai runcit dengan pisau, lelaki kena tujuh tahun, dua sebatan

Advertisement
Tertuduh (kanan) diiring pegawai penjara keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.
Tertuduh (kanan) diiring pegawai penjara keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah merompak wang tunai RM1,300 di sebuah kedai runcit di Jalan Stutong di sini, dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh Addian Lois Peter Nawas, 27, yang menukar pengakuannya kepada bersalah semasa perbicaraan kes hari ini. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Sama yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau disebat.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap pekerja kedai iaitu mangsa lelaki berusia 27 tahun dan mengambil wang tunai RM1,300 milik kedai tersebut dalam satu kejadian pada 9 November 2021, sekitar jam 6.35 pagi. 

Semasa melakukan kesalahan itu, tertuduh menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu sebilah pisau.

Berdasarkan fakta kes, mangsa semasa bekerja pada hari tersebut didatangi oleh lelaki tidak dikenali (tertuduh) yang mengacukan sebilah pisau ke arahnya. 

Tertuduh kemudian mengambil wang RM1,300 di dalam peti wang dan seterusnya melarikan diri. 

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada 3 Disember 2021. 

Hasil siasatan mendapati pengadu dapat mengenali tertuduh menerusi kawad cam.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali memohon agar hukuman penjara bagi tertuduh berjalan secara berturutan dengan hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan terhadap tertuduh oleh Hakim Maris Agan pada Rabu, 9 November, juga atas kesalahan merompak. 

Tertuduh katanya, telah dijatuhi hukuman tersebut setelah perbicaraan penuh dan didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan yang dilakukannya secara berasingan di sebuah kedai mini lain. 

Sehubungan itu, Hakim Taufik mengarahkan hukuman penjara tujuh tahun bagi kes ini dijalankan secara berturutan dengan hukuman penjara sembilan tahun itu.

Beliau menetapkan demikian susulan kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah membabitkan mangsa berbeza dan dilakukan di tempat serta waktu berbeza. 

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement