Anda di sini

Kes buli: Menteri Britain letak jawatan

Advertisement

Williamson didakwa hantar mesej ancaman, kata-kata kesat kepada rakan sekerja 

 

LONDON: Menteri Britain Gavin Williamson (gambar) meletak jawatan daripada kerajaan perdana menteri baharu Rishi Sunak lewat kelmarin berikutan dakwaan bahawa beliau menghantar mesej ancaman kepada penggubal undang-undang dan rakan sekerja.

Williamson mengalami tekanan yang semakin meningkat sejak kemunculan satu siri mesej teks yang dihantar olehnya, sarat dengan kata-kata kesat kepada rakan sekerja Tory dan bekas ketua ‘whip’ Wendy Morton.

Mereka berkata Williamson mahu “menghukum” ahli parlimen yang tidak memihak kepada perdana menteri ketika itu, Liz Truss dengan mengecualikan mereka daripada upacara pengebumian Ratu Elizabeth II, memberi amaran bahawa: “Ada padah untuk segala-galanya.”

Pada Isnin lepas seorang penjawat awam kanan memberitahu akhbar The Guardian bahawa Williamson telah membuli mereka dan memberitahu mereka untuk “mengelar leher sendiri”.

“Seperti yang anda tahu, ada proses aduan yang sedang dijalankan berkaitan mesej teks yang saya hantar kepada rakan sekerja. Terdapat dakwaan lain yang dibuat mengenai kelakuan saya yang lalu,” kata Williamson dalam surat peletakan jawatannya.

“Saya menafikan unsur-unsur dakwaan ini, tetapi saya menyedari bahawa ini mendatangkan gangguan untuk kerja baik yang kerajaan lakukan untuk rakyat Britain.

“Oleh itu saya telah memutuskan untuk berundur daripada kerajaan agar saya dapat mematuhi proses aduan yang sedang dijalankan sepenuhnya dan membersihkan nama saya daripada sebarang salah laku,” tulisnya.

Williamson, 46, sudah dipecat dua kali sebagai menteri oleh bekas perdana menteri Boris Johnson dan Theresa May.

Sementara itu, Sunak berkata beliau tidak akan “mengambil tindakan” sehingga selesai “penyiasatan aduan bebas”.

“Saya mahu melihat keputusan itu, tetapi saya sangat sedia maklum bahawa bahasa itu tidak betul, ia tidak boleh diterima,” kata Sunak.

Downing Street dan parti Conservative telah memulakan siasatan terhadap dakwaan itu. — AFP

Advertisement