Anda di sini

Beri sokongan padu kepada GPS pada PRU15: Dr Sim

Advertisement
Dr Sim (tengah) bersama-sama dengan Tiang (kiri) dan Chieng (kanan) memperkenalkan Wong (dua kiri) dan Ting kepada hadirin pada Malam Mobilisasi Umum GPS Untuk P211 Lanang dan P212 Sibu.
Dr Sim (tengah) bersama-sama dengan Tiang (kiri) dan Chieng (kanan) memperkenalkan Wong (dua kiri) dan Ting kepada hadirin pada Malam Mobilisasi Umum GPS Untuk P211 Lanang dan P212 Sibu.

SIBU: Rakyat Sarawak digesa bersatu dengan memberikan sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ini bagi memberikan kemenangan besar kepada GPS pada 19 November ini.

"GPS dari 2018 hingga sekarang adalah sebuah politik bebas. Kita sudah berdiri sendiri.

"Tok Nan (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) cakap 'Jaga Sarawak Baik-baik'. Kita mesti jaga bagus-bagus Sarawak jadi ini kali rakyat Sarawak mesti bersatu padu memberikan sokongan kepada GPS," katanya ketika berucap semasa menghadiri Malam Mobilisasi Umum GPS Untuk P211 Lanang dan P212 Sibu di sini pada malam Khamis.

Hadir sama Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Tanjung Batu Johnny Phang, calon GPS Parlimen Lanang Wong Ching Yong dan calon GPS Parlimen Sibu Clarence Ting.

Program pada malam tersebut turut dihadiri oleh ahli komponen GPS yang antara lain tujuannya untuk memperkenalkan dua calon tersebut di kerusi masing-masing.

Dr Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak menyifatkan politik yang tidak stabil di Semenanjung yang mana dalam masa sepenggal lalu mempunyai tiga Perdana Menteri.

Jelasnya, situasi sedemikian amat memerlukan politik yang stabil untuk kelancaran pentadbiran negara.

"Sekarang di Semenanjung Malaysia tiap-tiap hari bergaduh yang mengakibatkan pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali.

"Saya harap pada pilihanraya kali ini tidak akan bergaduh lagi dan tidak mahu melihat situasi yang sama berulang.

"Oleh itu, sokongan padu rakyat di Sarawak sangat penting bagi kestabilan politik dengan memberikan kemenangan kepada GPS," katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menggesa penduduk di sini agar turun beramai-ramai untuk mengundi calon GPS Lanang dan Sibu pada 19 November ini.

Jelasnya lagi, kemenangan bukan sahaja untuk kedua-dua kerusi tersebut malah di kerusi Parlimen di seluruh Sarawak.

Dalam perkara lain, ADUN Batu Kawah itu turut menyifatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) 'bankrap idea' dalam membawa hala pembangunannya di negeri ini.

Tegasnya lagi, DAP telah gagal melaksanakan banyak perkara semasa 22 bulan pemerintahannya antara yang disebutnya ialah gagal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan pemansuhan tol di Semenanjung.

"Pemimpin DAP ini umpama gaji masuk poket sahaja tetapi ketandusan idea untuk merancang pembangunan untuk rakyat. Apa yang Sibu dapat ketika dibawah mereka selama ini," tambahnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement