Anda di sini

Pemandu lori elak diperiksa polis bertindak memandu melawan arus

Advertisement
 

MIRI: Tindakan seorang pemandu lori yang cuba melarikan diri daripada diperiksa oleh polis lalu memandu secara melawan arus di Piasau Jaya, di sini membawa padah apabila dia berjaya ditahan tengah malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, lelaki tempatan itu pada mulanya ditahan oleh Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 12.30 tengah malam kerana berkelakuan mencurigakan di kawasan tersebut. 

“Namun lelaki tersebut enggan memberikan kerjasama dan telah bertindak melarikan diri dengan memecut lori yang dipandunya secara melawan arus sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. 

“Unit peronda telah mengejar lelaki tersebut dan berjaya menahannya bersama lori yang dipandu olehnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini. 

Alexson berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota bertugas mendapati lori yang dipandu itu tidak mempunyai cukai jalan dan lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah. 

“Kenderaan yang digunakan oleh lelaki itu dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 186/353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan menasihati orang awam agar sentiasa mematuhi arahan serta memberikan kerjasama kepada pihak polis.

  • oleh
  • Advertisement