Anda di sini

Tragedi rempuhan Halloween di Seoul

Advertisement

Kejadian ngeri di Itaewon menyaksikan lebih 150 maut, hampir 100 cedera

Mayat-mayat mangsa yang kebanyakannya mengalami serangan jantung, ditutup sementara menunggu ketibaan ambulans susulan kejadian rempuhan di  di lorong sempit berhampiran sebuah hotel di daerah Itaewon, Seoul semalam. - Gambar AFP
Mayat-mayat mangsa yang kebanyakannya mengalami serangan jantung, ditutup sementara menunggu ketibaan ambulans susulan kejadian rempuhan di  di lorong sempit berhampiran sebuah hotel di daerah Itaewon, Seoul semalam. - Gambar AFP

SEOUL: Lebih 150 terkorban dengan 19 daripadanya warga asing dan hampir 100 tercedera kelmarin dalam tragedi rempuhan yang mengerikan di tengah Seoul apabila orang ramai yang kebanyakannya golongan muda, menyertai sambutan Halloween di sebatang lorong sempit, kata pihak berkuasa Korea Selatan semalam.

Saksi menyatakan perbuatan berasak-asak untuk keluar dari tempat itu menyebabkan ramai terjatuh, ditimpa dan dipijak orang lain tatkala kakitangan perubatan yang terkejut dengan jumlah mangsa, meminta orang awam untuk melakukan bantuan kecemasan.

“Terlalu ramai orang tolak menolak dan saya terperangkap dan pada mulanya tidak dapat keluar juga.

"Saya dapat berasakan satu kemalangan akan berlaku,” Jeon Ga-eul, 30, memberitahu AFP.

Rempuhan di daerah kehidupan malam Itaewon di mana ramai orang berkumpul di sebatang lorong sempit berhampiran Hotel Hamilton.

Pegawai Jabatan Bomba Choi Seong-beom menyatakan rempuhan yang berlaku sekitar jam 10 malam, menyebabkan 151 maut dan sekurang-kurangnya 82 orang tercedera.

“Jumlah korban nyawa yang tinggi gara-gara ramai telah dipijak ketika acara Halloween itu," Choi memberitahu wartawan di tempat kejadian pada pagi semalam, sambil menambah bahawa angka kematian mungkin meningkat.

Gambar AFP di tempat kejadian menunjukkan beberapa mayat bergelimpangan di atas jalan raya ditutupi dengan cadar tilam dan para pekerja kecemasan yang memakai ves jingga memunggah lebih banyak mayat lagi di atas pengusung ke dalam ambulans.

Dalam temu bual dengan badan penyiaran tempatan YTN, seorang doktor, Lee Beom-suk, yang memberi bantuan kecemasan kepada mangsa  menceritakan tentang tempat kejadian dan kekecohan.

“Ketika saya mula cuba melakukan CPR (bantuan pernafasan dari mulut ke mulut), terdapat dua orang mangsa terbaring  di atas jalan raya, namun  jumlah itu bertambah mengejut tidak lama kemudian, melebihi jumlah responder pertama di tempat kejadian,” kata Lee.

“Ramai rang awam datang untuk membantu kami dengan CPR.

"Sangat sukar untuk digambarkan, ramai mangsa kelihatan pucat.

"Saya tidak dapat mengesan nadi atau pernafasan mereka malah ramai yang mengalami hidung berdarah.

"Ketika saya cuba melakukan CPR, saya turut mengepam keluar darah dari mulut mereka,” tambah beliau. 

Agensi berita Yonhap turut memetik seorang saksi yang tidak dikenal pasti sebagai menyatakan dia melihat mangsa-mangsa dipijak sehingga mati.

“Orang menimpa di atas satu sama laun seperti  batu nisan.

"Sebahagian pengsan secara perlahan-lahan sementara sebahagian lagi kelihatan meninggal dunia pada masa itu,"kata saksi, menurut kepada  Yonhap.

Pengguna Twitter @janelles_story berkongsikan rakaman video yang menurutnya menunjukkan beberapa kejadian dari Itaewon sejurus sebeum rempuhan berlaku, di mana beratus-ratus belia berpakaian seperti lanun, koboi dan kostum Halloween yang lain, dilihat memenuhi jalan sempit yang dibarisi kelab malam dan kafe.

Orang ramai pada mulanya kelihatan sangat bersemangat dan tenang, namun kemudian satu kekecohan berlaku mengakibatkan orang ramai mula bertolak-tolak dan menekan satu sama lain.

Jeritan dan cungapan kedengaran dan suara wanita menjerit dalam bahasa Inggeris.

Choi menyatakan mayat mangsa dipindahkan ke sebuah gim tidaka jauh dari tempat kejadian dan hospital kawasan untuk dikenal pasti.

Televisyen tempatan menunjukkan ambulans bergerak ke Hospital Universiti Soon Chun Hyang, di mana sebahagian mangsa telah dibawa.

Pihak berkuasa menyatakan pada mulanya bahawa 50 orang mengalami serangan jantung dan lebih 140 ambulans telah dikerah ke tempat kejadian bagi membantu mangsa.

Yoon (dua kiri) melawat tempat kejadian di lorong sempit berhampiran sebuah hotel di daerah Itaewon, Seoul semalam. - Gambar AFP
Yoon (dua kiri) melawat tempat kejadian di lorong sempit berhampiran sebuah hotel di daerah Itaewon, Seoul semalam. - Gambar AFP

Presiden Yoon Suk-yeol mengarahkan pihak berkuasa agar menghantar pasukan bantuan kecemasan pertama dan segera menyediakan katil hospital bagi mangsa, kata pihak pejabat presiden.

Sementara itu, Datuk Bandar Seoul Oh Se-hoon, yang sedang dalam lawatan ke Eropah, memutuskan untuk bergegas pulang ke tanah air selepas kemalangan itu, lapor Yonhap yang memetik pegawai bandar raya.

Di Washington, sekutu kuat Seoul, Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan menulis dalam Twitter bahawa laporan mengenai kejadian Seoul amat menyedihkan.

"Kami memikirkan tentang semua orang yang kehilangan orang tersayang dan mengharapkan mereka yang cedera segera pulih.

"Amerika Syarikat sentiasa bersedia untuk memberikan kepada Republik Korea sebarang bentuk bantuan yang diperlukan,” jelas Sullivan.

Sementara itu Presiden Perancis Emmanuel Macron turut menawarkan bantuan dan sokongan.

Ju Young Possamai, pekerja kelab malam di daerah Itaewon, menyatakan dia telah pergi ke beberapa sambutan Halloween dan terkejut dengan tragedi itu.

“Amat menyedihkan apabila melihat sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan.

"Tempat itu memang selalu sesak tetapi tidak pernah berlaku perkara seperti ini,” Possamai, 24, memberitahu AFP.

Sambutan pada tahun ini adalah yang pertama sejak pandemik berlaku pada 2020 di mana rakyat Korea Selatan tidak diarahkan memakai pelitup muka ketika berada di luar. – AFP

Advertisement