Anda di sini

Kempen banteras jenayah seksual siber terhadap kanak-kanak dilancar

Advertisement
Razi (dua kanan) menyempurnakan pelancaran Kempen Membanteras Jenayah Seksual Secara Siber Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Kebajikan Dalat.
Razi (dua kanan) menyempurnakan pelancaran Kempen Membanteras Jenayah Seksual Secara Siber Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Kebajikan Dalat.

MUKAH: Kempen Membanteras Jenayah Seksual Secara Siber Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak telah dilancarkan di Kompleks Kebajikan Dalat hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohamad Razi Sitam.

Razi dalam ucapan perasmiannya mengatakan, kempen tersebut adalah salah satu inisiatif dalam membantu dan membimbing kanak-kanak dan ibu bapa serta komuniti dalam berhadapan cabaran jenayah siber pada masa ini.

"Dari Januari hingga Jun 2022, sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak telah direkodkan," katanya.

Katanya lagi, data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat itu menyaksikan 706 kes melibatkan kanak-kanak perempuan, 349 kes melibatkan kanak-kanak lelaki.

"Data daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, dari Januari hingga Jun 2022, sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak telah direkodkan.

"Ia melibatkan pecahan 641 kes rogol, 47 kes rogol berkumpulan, 127 sumbang mahram, 95 kes seks luar tabii dan 438 cabul," jelas Razi.

"Data daripasa PDRM juga menunjukkan 106,764 alamat Internet Protocol (IP) yang berdaftar di Malaysia telah membuat perkongsian pornografi kanak-kanak sejak 2017 hingga Ogos 2022.

"Ia sekali gus menunjukkan perkembangan tidak sihat terutama melibatkan golongan kanak-kanak," tambahnya.

Kementerian katanya, turut berusaha menangani isu penderaan kanak-kanak melalui beberapa kaedah.

Antaranya jelas beliau, melalui penubuhan One Stop Teenage Pregnancy Commitee (OSTPC) dalam menangani isu kehamilan remaja, pelancaran Overlay Keselamatan Kanak-Kanak pada 16 Oktober di mana kaktus diperkenal sebagai simbol, agar masyarakat perlu bersama-sama bekerjasama melindungi kanak-kanak, menguar-uarkan perkhidmatan Talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-2615999 bagi melaporkan kes kanak-kanak.

Sementara itu katanya, kementerian turut berusaha memperkasa perkhidmatan kaunseling di 108 pejabat kebajikan masyarakat daerah dan bahagian, selain memperkasa 146 pusat aktiviti kanak-kanak  sebagai hab perkhidmatan kanak-kanak.

"Pemilihan kaktus sebagai simbol keselamatan kanak-kanak bagi melambangkan ketahanan dan kekuatan.

"Lima cabang pada kaktus melambangkan kanak-kanak itu sendiri, ibu, bapa, adik beradik dan masyarakat yang perlu sentiasa ada untuk menyokong penerapan nilai-nilai murni dan pembangunan sahsiah dalam diri kanak-kanak.

"Lima cabang turut melambangkan lima prinsip Rukun Negara bagi menyemai semangat patriotik dalam diri kanak-kanak.

"Ini selain lambang kaktus yang turut dipilih kerana sifatnya yang boleh hidup di mana-mana tempat tetapi memerlukan penjagaan rapi bersesuaian dengan konsep kelangsungan hidup serta duri kaktus yang melambangkan keluarga, masyarakat dan negara yang menjadi pelindung kepada kanak-kanak.

"Kementerian juga menggunakan beberapa pendekatan  bagi mencegah jenayah seksual secara siber terhadap kanak-kanak melalui program advokasi, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial khususnya untuk keluarga dan kanak-kanak berisiko tinggi," tambah beliau.

Advertisement