Anda di sini

Lebih 1,000 penonton hadir program amal The Cloth Concert

Advertisement
 Tengku Norashikin bersama tetamu kehormat dan jawatankuasa penganjur.
HADIR: Tengku Norashikin bersama tetamu kehormat dan jawatankuasa penganjur.

KOTA KINABALU: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin antara lebih 1,000 orang yang hadir dalam program amal The Cloth Concert yang berlangsung di IOI Grand, IOI City Mall Kuala Lumpur, semalam.

Anjuran Persatuan Veteran RTM (PVRTM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM),  Majalah WM (www.majalahwm.com) dan B’York KL itu berjaya membuatkan semua penonton terpukau.

Persembahan dimulakan dengan tiupan saksofon daripada Jaffar Abd Rahman @ Idris atau Jari sambil diiringi peragaan fesyen ciptaan Sharifah Kirana.

Semua penonton juga turut berpeluang melihat persembahan lapan artis popular sambil diiringi peragaan fesyen tradisional dan moden rekaan 21 pereka ternama termasuk Zang Toi yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat.

Tokoh industri muzik, Datuk Aziz Bakar berkata gabungan persembahan artis ternama bersama pereka tempatan yang terkenal di dalam dan luar negara seperti Zang Toi itu sangat luar biasa.

“Persembahan ini sudah pasti dapat meningkatkan industri hiburan dan fesyen negara serta membawa ciptaan fesyen serta fabrik kita ke peringkat global,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan konsert yang julung kali diadakan itu.

 Maria (kiri) semasa membuat peragaan fesyen dalam program tersebut.
FESYEN: Maria (kiri) semasa membuat peragaan fesyen dalam program tersebut.

Katanya, matlamat penganjuran itu adalah untuk mengumpul dana Tabung Kebajikan PVRTM dan konsert tersebut juga akan disiarkan di RTM pada November depan.

“Penganjuran ini juga menerima pujian daripada Tengku Permaisuri Norashikin yang juga penaung diraja PVRTM.

“Baginda berharap dana yang dikumpul menerusi tabung itu dapat digunakan serta diagihkan sebaik mungkin secara telus dan adil demi membantu meringankan beban ahli-ahli memerlukan,” katanya.

Sementara itu Presiden PVRTM Zohara Gany Bathusha pula berkata persatuan itu akan terus berusaha melaksanakan program yang dapat mengumpul dana bagi mengisi tabung kebajikan untuk meringankan beban ahli.

Salah satu usaha ke arah itu ialah melancarkan skim insurans kesihatan untuk ahli yang sakit atau ditimpa kemalangan dan memerlukan kos rawatan yang tinggi. 

“Insya-Allah itu adalah perbincangan awal yang sudah kami lakukan dengan sebuah agensi insurans.  Jika segalanya dipersetujui, ia mungkin akan direalisasikan pada suku pertama tahun hadapan,” katanya.

 Anuar Zain (kiri) dan Jaffar ketika membuat persembahan dalam program tersebut.
ARTIS: Anuar Zain (kiri) dan Jaffar ketika membuat persembahan dalam program tersebut.

Zohara mengucapkan terima kasih kepada Majalah WM kerana membantu mengumpul pereka fesyen terkenal lama dan baharu untuk menyertai program ini.

“Terima kasih juga kepada B’York KL pimpinan Syeba Yip yang berpengalaman menganjurkan pertunjukan fesyen dan supermodel Malaysia dan Tinie yang turut membantu menguruskan peragawati pada persembahan ini,” katanya.

Terdahulu, program dua jam itu dihoskan oleh bekas penyampai Radio 4 RTM, Datuk Yasmin Yusoff dan dimeriahkan dengan artis termasuklah Datin Seri Maria Farida, Datin Alyah, Anuar Zain, Ning Baizura, Stacy, Noryn Aziz, Azlina Aziz dan MimiFly.

  • oleh
  • Advertisement