Anda di sini

Tanah runtuh, 110 penumpang keretapi selamat

Advertisement
 Keadaan landasan keretapi di Terowong Dambai yang terjejas akibat tanah runtuh.
TEROWONG: Keadaan landasan keretapi di Terowong Dambai yang terjejas akibat tanah runtuh.

PAPAR: Kejadian tanah runtuh yang menjejaskan landasan keretapi di Terowong Dambai di sini kira-kira jam 6.30 petang semalam lepas mengakibatkan seramai 110 penumpang terkandas.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, bagaimanapun kesemua penumpang terbabit dilaporkan selamat selepas menerima bantuan pasukan keselamatan.

Menurutnya, para penumpang yang terlibat dihantar pulang ke kediaman masing-masing kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, kesemua mangsa yang terkandas dalam keadaan baik selepas menerima pemeriksaan kesihatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

 Jentera lokomotif keretapi yang tersekat di Terowong Dambai berjaya ditarik keluar.
SELAMAT: Jentera lokomotif keretapi yang tersekat di Terowong Dambai berjaya ditarik keluar.

"Kebanyakan penumpang yang terkandas tinggal di kawasan Papar dan Beaufort. Ada penumpang dihantar menggunakan kenderaan Majlis Daerah Papar dan ada juga diambil oleh keluarga mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, gerabak keretapi berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Stesen Keretapi Kawang dan kerja-kerja pembersihan di lokasi runtuhan masih giat dijalankan.

Sementara itu, dalam kenyataan di laman rasmi Facebook Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), kerja-kerja menarik jentera lokomotif keretapi yang tersekat di Terowong Dambai berjaya dilaksanakan pagi semalam.

Menurutnya, kerja pembersihan landasan yang tertimbus dengan tanah dan pokok sedang giat dijalankan pasukan JKNS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Majlis Daerah Papar.

Sebelum kejadian tanah runtuh itu, keretapi berkenaan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar sebelum terkandas di landasan Terowong Dambai di sini.

Berikutan dari kejadian itu, lima jadual perjalanan keretapi hari ini terpaksa dibatalkan sepenuhnya membabitkan perjalanan jam 5 pagi, 7 pagi dan 11 pagi dari Beaufort ke Sembulan.
 

  • oleh
  • Advertisement