Anda di sini

Kerajaan diminta ambil alih Skim Penempatan Sementara Pelarian

Advertisement
MASIUNG
MASIUNG

KOTA KINABALU: Kabinet Sabah digesa supaya mengemukakan usul kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengambil alih lima lokaliti Skim Penempatan Sementara Pelarian untuk dijadikan tapak pembangunan komersial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, penempatan tersebut sudah tidak sesuai kerana ia terletak di kawasan perbandaran.

Katanya, kawasan setinggan yang dilihat tidak tersusun itu telah mencacatkan imej persekitaran bandar utama di negeri ini.

“Lima skim penempatan itu kebanyakkannya didiami oleh pendatang tanpa izin (PTI) dan sering berlakunya aktiviti jenayah.

“Penempatan itu termasuklah, di kawasan perindustrian Kinarut, Telipok, Kampung Bahagia Sandakan, Kampung Hidayat Tawau dan Kampung Selamat Semporna,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, masalah penempatan PTI sudah berlanjutan lebih 50 tahun sejak kerajaan lalu, namun ia hanya sampai diperingkat cadangan sahaja selain dijadikan isu politik tanpa pelaksanaan tuntas.

“Setelah lebih 50 tahun PTI menduduki skim penempatan itu, sudah tiba masanya tapak berkenaan yang berstatus tanah perdana dibangunkan untuk rakyat Sabah.

“Sudah lebih tiga dekad PTI mendapat keistimewaan secara percuma di negeri ini, sedangkan rakyat tempatan golongan B40 terus bergelut dengan hutang membeli rumah dan rumah sewa di bandar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, Sabah merekodkan lebih 50,000 senarai menunggu untuk mendapatkan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.

Menurutnya, kewujudan skim penempatan itu ternyata tidak banyak membawa keuntungan, sebaliknya kerajaan negeri mengalami kerugian berpuluh juta ringgit setiap tahun akibat penyambungan elektrik dan air secara haram.

“Kewujudan sebahagian besar warga asing turut menyumbang masalah jenayah yang sukar dikawal seperti kes penyeludupan, kegiatan dadah, perjudian dan pemilikan Mykad secara rasuah,” katanya.

Masiung mencadangkan kerajaan perlu menyediakan sebuah pulau sesuai bagi memindahkan penempatan itu sepertimana konsep kerajaan Terangganu menempatkan pendatang Vietnam di Pulau Bidong pada era 70-an.

 “Sebarang cadangan diputuskan KDN berhubung masalah pendatang, tidak harus membelakangkan pemimpin Sabah kerana kebanjiran PTI sudah mencapai tahap serius dan keturunan mereka sudah wujud beberapa generasi.

“Kita bimbang kerana menurut laporan Institut Pembangunan Sabah (IDS) tahun lalu, daripada 3.9 juta penduduk Sabah, 1.2 juta adalah rakyat asing,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement