Anda di sini

Kelab Rotary Tawau komited bantu masyarakat

Advertisement
 Vivian (tiga kiri) menerima watikah pelantikan sebagai presiden Kelab Rotary Tawau.
WATIKAH: Vivian (tiga kiri) menerima watikah pelantikan sebagai presiden Kelab Rotary Tawau.

TAWAU: Kelab Rotary Tawau terus komited untuk menjalankan misi kemanusiaan, kebajikan dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di daerah ini.

Presidennya, Vivian Thien berkata pihaknya telah merancang untuk menjalankan beberapa projek khususnya dalam membantu masyarakat di Tawau dan sekitarnya.

Katanya, sejak berlakunya pandemik COVID-19 di seluruh negara, banyak projek-projek Kelab Rotary Tawau yang sudah dirancang telah tergendala.

“Justeru, tahun ini, kami merancang untuk melancarkan beberapa projek baharu seperti rawatan air dan mewujudkan perpustakaan mini di kawasan luar bandar.

“Kami berharap dengan adanya projek baharu yang bakal dilancarkan itu dapat memberikan perkhdimatan terbaik kepada masyarakat di daerah ini, sekali gus mempromosikan Kelab Rotary Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis angkat sumpah ahli jawatankuasa kali Ke-55 Kelab Rotary Tawau, di sini semalam.

Menurutnya, Kelab Rotary Tawau berjaya mengharungi cabaran ketika pandemik COVID-19 melanda negara lebih dua tahun lamanya.

“Banyak aktiviti sosial dan program terpaksa dilakukan secara dalam talian termasuklah mengadakan mesyuarat dan perbincangan.

“Selepas ini, kita akan mengadakan lebih banyak perjumpaan serta perhimpunan secara bersemuka melibatkan semua ahli dan ahli jawatankuasa,” katanya.

 Antara ahli jawatankuasa baharu Kelab Rotary Tawau bagi tahun 2022-2023.
AHLI JAWATANKUASA: Antara ahli jawatankuasa baharu Kelab Rotary Tawau bagi tahun 2022-2023.

Sementara itu, Vivian berkata dia sangat mengharapkan sokongan daripada semua ahli dan jawatankuasa yang lain untuk menggerakkan aktiviti Kelab Rotary Tawau.

“Sebagai presiden yang baharu dilantik untuk tahun 2022-2023 sangat bersyukur kerana telah mendapat sokongan daripada semua jawatankuasa dan ahli.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Penganjur, Steven Tee dan Pembantu Gabenor, Datuk Jimmy Pang kerana banyak memberikan tunjuk ajar,” katanya.

Turut hadir dua mantan Gabenor Kelab Rotary Likas Bay, Datuk Lee Chuen Wan dan Philip Chong; Bakal Gabenor Kelab Rotary, Dr John Chan; Presiden dan ahli Kelab Rotary Johor Bahru serta Presiden dan ahli Kelab Rotary Sentral Kuching.

Jawatankuasa baharu Kelab Rotary Tawau termasuklah, Vivian Thien; Radaha Krishnan; Datuk Jimmy Pang; Nicholas Pang; Frankie Chua; Chong Kin Tzun; Chong Kin Ker; William Cheang; Tony Wong;  Leung Kwok Yau; Quek Siew Wah; Dayang; Philip Yong dan Nokiah Sannasi.

  • oleh
  • Advertisement