Anda di sini

PhillipCapital buka cawangan baharu di Jalan Bako, Sibu

Advertisement
Lau (enam kiri), Lim (lima kiri), Mohd Saleem (lima kanan) serta yang lain memotong reben sebagai simbolik perasmian pelancaran cawangan baharu PhilipCapital di Jalan Bako, Sibu hari ini.
Lau (enam kiri), Lim (lima kiri), Mohd Saleem (lima kanan) serta yang lain memotong reben sebagai simbolik perasmian pelancaran cawangan baharu PhilipCapital di Jalan Bako, Sibu hari ini.

SIBU: Kumpulan syarikat yang menawarkan rangkaian perkhidmatan kewangan komprehensif, PhillipCapital membuka cawangan baharunya yang ke-12 di Jalan Bako di sini, hari ini.

Ini merupakan cawangan keduanya di Sarawak selepas Kuching.

Berucap pada majlis pelancarannya, Temenggung Dato Vincent Lau berkata, pembukaan cawangan baharu itu menunjukkan syarikat luar mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap pasaran di Sibu.

"Phillip Investor Centre Cawangan Sibu ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha dan objektif Phillip Capital Sdn Bhd untuk membuka jalan kepada lebih ramai pelabur runcit dan perniagaan memasuki pasaran pelaburan derivatif dan saham.

"Saya yakin pelancaran pusat pelabur di Sibu ini menandakan permulaan perjalanan yang produktif, inovatif dan bermakna bagi PhillipCapital dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sibu dan Sarawak, khususnya pembangunan sektor kewangan," ujarnya.

Menurutnya, Sarawak adalah sebuah wilayah yang mempunyai potensi besar untuk pelabur perniagaan, manakala Sibu terletak di wilayah tengah Sarawak dan merupakan pintu masuk pusat ke negeri ini.

Oleh itu katanya, mempunyai pejabat fizikal di Sibu dengan menawar dan menghebahkan perkhidmatan kewangan, niaga hadapan, unit amanah dan produk sahamnya akan menjadi satu potensi yang besar.

"Sektor teras di Sibu ialah industri perkapalan dan pembinaan kapal, kelapa sawit dan kejuruteraan. 

"Memandangkan Malaysia diiktiraf di peringkat global untuk kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO), saya percaya pasaran niaga hadapan sangat relevan kepada Sibu dan Sarawak kerana masyarakat tempatan sudah biasa dengannya," ujarnya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengetahui tentang asas perancangan kekayaan, menganalisis pasaran, menjalankan perdagangan dan beberapa strategi pelaburan yang telah dicuba dan diuji sebelum mula melabur.

Jelasnya, ini supaya boleh mengurus risiko dengan lebih baik dan melabur dengan cara yang sesuai dengan matlamat pelabur.

Turut berucap pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan PhillipCapital Malaysia Andy Lim dan Pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives Mohd Saleem Kader Bakas.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Phillip Nova Pte Ltd Teyu Che Chern, Pengarah Eksekutif Phillip Capital Sdn Bhd Lam Choon Jin, Ketua Urus Niaga Sekuriti, Perniagaan Runcit Phillip Capital Sdn Bhd Yee Meng Phang dan Pengarah Serantau Malaysia Timur untuk Phillip Capital Sdn Bhd Grace Mo.
 

  • oleh
  • Advertisement