Anda di sini

KPDNHEP serbu stor simpanan diesel, tumpas kegiatan seleweng barang kawalan

Advertisement
 Minyak diesel yang disimpan di dalam skid tank di dalam stor terbabit.
SELEWENG: Minyak diesel yang disimpan di dalam skid tank di dalam stor terbabit.
 Beberapa buah kenderaan turut dirampas selepas dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan barangan kawalan terbabit.
RAMPAS: Beberapa buah kenderaan turut dirampas selepas dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan barangan kawalan terbabit.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel dalam satu operasi di sini.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata tindakan itu dilaksanakan dalam satu serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kibabaig Penampang pada 28 September lalu.

Katanya serbuan dijalankan hasil maklumat awam serta operasi risikan selama lima hari di lokasi berkenaan.

“Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5.30 petang itu berjaya menemukan 15,683 liter minyak diesel yang disimpan di dalam skid tank.

“Turut ditemukan ialah sebuah lori, skid tank, tangki minyak kenderaan pelbagai kapasiti, dan seunit pam elektronik yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penyelewangan barang kawalan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM114,018.45. 

Dalam pada itu beliau berkata, tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

“Berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen. 

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Bercakap lanjut Georgie berkata Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan ini boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. 

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Beliau juga menegaskan KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement