Anda di sini

Lebih banyak syarikat swasta digalak bantu sumbang peralatan kesihatan kepada hospital awam

Advertisement
 Tiang (tiga kanan) menyaksikan penyerahan peralatan kesihatan daripada Wong (dua kanan) kepada Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung pada majlis tersebut, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
SUMBANGAN: Tiang (tiga kanan) menyaksikan penyerahan peralatan kesihatan daripada Wong (dua kanan) kepada Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung pada majlis tersebut, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Lebih banyak syarikat swasta digalakkan membantu dengan menyumbang peralatan kesihatan kepada hospital awam di negeri ini dalam usaha menyampaikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang berkata, ini kerana menerusi bantuan dan kerjasama syarikat swasta, ia dapat membantu hospital awam menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih kondusif.

"Misalnya, Syarikat Lien Dak Group ini yang telah melangkaui tugas mereka di mana sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), mereka telah menyediakan banyak peralatan yang diperlukan oleh Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Dengan itu, saya menyeru agar lebih banyak syarikat swasta mencontohi langkah syarikat ini dengan menawarkan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan selagi mampu," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Peralatan kepada Klinik Pakar Pediatrik yang dihadiri Pengerusi Eksekutif Lien Dak Group, Stephen Wong di Theatre Restaurant and Gallery di KOZI Square di sini, hari ini.

Menurut Tiang, meskipun perkara berkaitan penjagaan kesihatan adalah di bawah kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan negeri akan terus komited menawarkan bantuan yang diperlukan di negeri ini.

Katanya, ini kerana penghujungnya ia demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.

"Justeru, untuk memastikan penjagaan kesihatan yang baik bukan sahaja memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan, tetapi juga bantuan dan kerjasama syarikat swasta atau individu.

"Ini akan membantu hospital awam menyediakan penjagaan kesihatan lebih kondusif kepada komuniti kita," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis, Tiang berkata, Lien Dak Group bukan sahaja menyumbang peralatan tetapi sebelum ini membantu HUS semasa pandemik COVID-19.

Katanya, syarikat berkenaan membantu menyediakan makanan, kemudahan kepada petugas barisan hadapan, selain menjadikan premis mereka sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Kita berterima kasih kepada syarikat ini kerana dengan adanya syarikat swasta sebegini menyumbang kepada HUS, ia amat bermakna.

"Seperti anda semua maklum, HUS adalah hospital untuk semua," katanya.

Pada majlis berkenaan, Lien Dak Group menyampaikan beberapa peralatan kepada Klinik Pakar Pediatrik di Kozi Square yang bernilai RM12,000.

Advertisement