Anda di sini

Kes bunuh adik: Tempoh reman tamat, lelaki dibebas dengan jaminan polis

Advertisement
 Russell (kanan) bercakap dengan suspek (dua kanan) dan keluarganya semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.
BINCANG: Russell (kanan) bercakap dengan suspek (dua kanan) dan keluarganya semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Seorang lelaki warga emas yang ditahan reman berhubung kes bunuh adik di Jalan Landeh di sini pada 19 September lalu, dibebaskan selepas tempoh tahanan reman ke atasnya tamat hari ini. 

Majistret Zubaidah Sharkawi hari ini menetapkan lelaki berusia 60 tahun itu untuk dibebaskan dengan jaminan polis. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Dalam pada itu, suspek pada hari ini sepatutnya dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. 

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff bagaimanapun menetapkan suspek dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff. 

DPP Aiman memohon agar kes di DNAA susulan pihak polis masih menjalankan siasatan bagi kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan ini, yang juga membabitkan mangsa sama. 

Suspek diwakili peguam Russell Lim. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mangsa, Leong Jun Miaw, 49, cedera di betis kirinya selepas berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa di hadapan rumah mereka sekitar jam 7.30 malam.

Menurutnya, mangsa telah datang ke rumah suspek dengan membawa senjata dipercayai sabit dalam keadaan marah-marah dan disyaki dalam keadaan dipengaruhi alkohol.

Mangsa katanya, dikatakan terlebih dahulu cuba menyerang suspek, tetapi senjatanya berjaya dirampas suspek.

Suspek kemudian melibas kembali senjata tersebut, menyebabkan betis kiri mangsa cedera dan pendarahan yang banyak.

Mangsa dikejarkan ibunya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia semasa dirawat sekitar jam 11.10 malam.

Advertisement