Anda di sini

D-One mahu jadi duta promosikan Sarawak sebagai destinasi sukan permotoran pilihan

Advertisement
 Barisan ahli jawatankuasa baharu Kelab Sukan Permotoran D-One merakamkan kenangan selepas AGM pertama kelab di Kuching, malam Selasa.
MANTAP: Barisan ahli jawatankuasa baharu Kelab Sukan Permotoran D-One merakamkan kenangan selepas AGM pertama kelab di Kuching, malam Selasa.

KUCHING: Kelab Sukan Permotoran D-One mahu menjadi duta mempromosikan Sarawak sebagai destinasi sukan permotoran pilihan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Presidennya Dr Mohd Shafiq Abdullah berkata, kelab itu mahu menganjur dan menguruskan lebih banyak acara yang akan meningkatkan minat terhadap industri sukan permotoran di Sarawak.

“Kami mahu membantu Sarawak mencipta acara yang akan menyumbang kepada industri pelancongan sukan yang akan menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak,” ujarnya pada sidang media di sini malam Selasa.

Shafiq berkata, kelab itu juga menetapkan objektif untuk mewujudkan peluang kepada belia Sarawak merasai cabaran sukan permotoran di negeri ini.

Pada masa sama katanya, kelab berkenaan juga mahu mencungkil bakat tempatan dengan menyediakan bimbingan, latihan dan pendidikan yang sewajarnya.

“Kami juga mahu memberi peluang kepada pegawai dan marsyal untuk melaksanakan tugas sambil menambah pengetahuan dan kepakaran mereka,” kata Shafiq.

Menurut beliau lagi, kelab itu telah memilih ahli jawatankuasa yang baharu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama yang diadakan sebelum sidang media berkenaan.

“Barisan ahli jawatankuasa baharu adalah sama dengan jawatankuasa protem kelab,” jelasnya.

Selain Shafiq yang dipilih sebagai Presiden, jawatan Timbalan Presiden I disandang oleh Azmin Ramlie, manakala Leonard Jambu sebagai Timbalan Presiden II dan Fadillah Sulaiman sebagai Setiausaha.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Kesejahteraan Komuniti) Mohamad Razi Sitam pula merupakan Penasihat kelab berkenaan.

Kelab Sukan Permotoran D-One merupakan sebuah kelab berdaftar dengan Persatuan Sukan Permotoran Sarawak (SMA) dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

Kelab itu juga berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan telah dikeluarkan dengan sijil pendaftaran bernombor C-SWK-11411 pada 28 Januari tahun ini.

“Acara teras kami ialah sukan permotoran dua roda seperti Cub Prix, Motocross, Bike Drag Race, Mini GP dan Pocket Bike,” kata Shafiq lagi.

Advertisement