Anda di sini

Wanita dipenjara enam bulan kerana mencuri 

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang wanita berumur 31 tahun selepas didapati bersalah mencuri seutas rantai dan sebentuk cincin emas, seunit telefon bimbit dan wang tunai milik seorang lelaki  pada 2021.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan hukuman ke atas Zalbia Sulai selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mengarahkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa semalam.

Menurut pertuduhan, Zalbia dan seorang lagi wanita yang masih bebas, melakukan kesalahan itu pada 2 Januari 2021 sekitar jam 11 pagi di sebuah bilik hotel di Jalan Ban Hock, di sini.

Berdasarkan fakta-fakta kes, mangsa 55 tahun, yang merupakan pengadu kes, bertemu dengan Zalbia dalam satu pertemuan di hotel tersebut.

Zalbia kemudian menyuruh mangsa mandi tetapi dia enggan dan seorang wanita (yang masih bebas) tiba-tiba masuk ke dalam bilik hotel itu.

Zalbia dan wanita berkenaan kemudian terus meragut rantai emas dari leher pengadu dan mengambil cincin emas di jarinya bersama sebuah telefon bimbit termasuk wang tunai RM41 milik mangsa sebelum melarikan diri.

Pengadu membuat laporan polis selepas insiden itu dan Zalbia ditangkap pada 10 Januari 2021.

Mengikut siasatan polis, pengadu dapat mengecam muka Zalbia menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Justeru, dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksanaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau dengan denda dan bagi kesalahan berikutnya, hukuman penjara harus dikenakan serta boleh didenda atau disebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala Zalbia tidak diwakili peguam.
 

Advertisement