Anda di sini

Tiang sumbang RM50,000 kepada Lembaga Pelawat Hospital Sibu

Advertisement
 Tiang (dua kiri) menyerahkan replika cek sumbangannya kepada Dr Nanthakumar di Sibu, semalam.
UNTUK RAKYAT: Tiang (dua kiri) menyerahkan replika cek sumbangannya kepada Dr Nanthakumar di Sibu, semalam.

SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang semalam menyumbang RM50,000 kepada Lembaga Pelawat Hospital Sibu.

Menurutnya, jumlah itu adalah daripada dana projek kecil luar bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan sebagai sebahagian daripada inisiatif wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini untuk membantu Hospital Sibu.

“Setiap YB (wakil rakyat) GPS di sini bersetuju untuk menyumbang RM50,000 setiap tahun kepada Hospital Sibu kerana kami difahamkan Hospital Sibu tidak berkhidmat untuk Sibu sahaja tetapi seluruh wilayah tengah seperti Kapit, Kanowit dan Selangau,” katanya.

Tiang bercakap kepada The Borneo Post selepas menyerahkan sumbangan kepada Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu, yang menerima bagi pihak Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sibu Kevin Lau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, selama ini Hospital Sibu berdepan banyak cabaran kewangan kerana permintaan terhadap perkhidmatannya tinggi terutama dalam tempoh COVID-19.

Selain itu, beliau mendapat tahu bahawa terdapat rancangan untuk menaik taraf beberapa kemudahan di hospital selain memperluaskan jenis perkhidmatan yang disediakan untuk penduduk di Lembah Rajang ini.

“YB GPS amat memahami bahawa Hospital Sibu mesti dijaga dengan baik seterusnya memastikan ia dilengkapi dan diselenggara dengan baik.

“Ini adalah untuk kepentingan wilayah tengah yang mempunyai paling ramai penduduk di Sarawak iaitu kawasan Lembah Rajang.

“Bagi menjaga penduduk ini, Hospital Sibu perlu berada dalam keadaan baik.

"Jadi, hari ini saya menyumbang RM50,000 dana awam yang diberikan kembali bagi kebajikan rakyat," tegas Tiang.

Bagi tujuan ini, beliau berharap sektor korporat turut melangkah ke hadapan untuk bersama-sama menyumbang dengan cara mereka sendiri kepada Hospital Sibu.

Antara yang hadir ialah Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng dan Bendahari Lembaga Pelawat Hospital Sibu Yong King Sung.

Advertisement