Anda di sini

Banjir: Lebih banyak PPS diaktif jika diperlukan

Advertisement
 Fatimah merakamkan kenangan program Latih Amal dan Simulasi PPS Bencana Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dewan Serbaguna Ranchan, Serian hari ini.
TINGKAT KESIAPSIAGAAN: Fatimah merakamkan kenangan program Latih Amal dan Simulasi PPS Bencana Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dewan Serbaguna Ranchan, Serian hari ini.

KUCHING: Lebih banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri akan diaktifkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) bagi menghadapi bencana banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, buat masa ini sebanyak 627 PPS diwartakan dan mungkin akan ditambah jika diperlukan.

“Kita akan mewujudkan PPS baharu jika berlaku bencana banjir yang melibatkan kawasan yang tidak pernah terkena bencana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan program Latih Amal dan Simulasi PPS Bencana Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dewan Serbaguna Ranchan di Serian, hari ini.

Menurut Fatimah, penubuhan lokasi PPS akan dicadangkan oleh pegawai daerah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk kelulusan.

“Untuk itu, pegawai daerah tidak boleh mengambil cuti sepanjang tempoh banjir. Mereka perlu sentiasa bersiap siaga kerana kita akan lebih berjaga-jaga sekiranya berlaku situasi banjir yang tidak dijangka,” jelasnya.

Terdahulu, Fatimah dalam ucapannya berkata, JKMS telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 627 PPS di seluruh Sarawak yang mempunyai kapasiti menempatkan 162,091 mangsa banjir.

Menurutnya, sebanyak 25 pangkalan hadapan bencana telah ditubuhkan untuk menyimpan bantuan makanan kering bagi kawasan yang agak jauh di pedalaman.

“Dari segi aset, JKMS mempunyai 48 kenderaan yang boleh digunakan untuk operasi bencana, 10,000 khemah boleh lipat dan 272 pembahagi mudah alih.

“Seramai 1,971 kakitangan dan sukarelawan JKM telah bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir di Sarawak,” ujarnya.

Fatimah berkata, kementerian juga akan menggerakkan seramai 285 orang terdiri daripada pegawai kaunseling dan pasukan sokongan psikologi untuk membantu mangsa yang terjejas dari segi emosi akibat bencana banjir.

Setakat ini katanya, JKMS mempunyai satu depo berskala besar di Jalan Datuk Mohd Musa di Kota Samarahan dan tiga depo mini di Miri, Kuching dan Kota Samarahan bagi menyimpan semua barangan dan peralatan yang diperlukan untuk dihantar semasa operasi banjir.

Sehubungan itu, Fatimah berkata, persediaan tersebut juga dilakukan susulan 

laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa negara akan menghadapi perubahan monsun dari pertengahan September hingga November dengan Monsun Timur Laut dijangka bermula dari November 2022 hingga Mac 2023.

Manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebat monsun dari Disember tahun ini hingga Januari tahun depan.

Advertisement