Anda di sini

SUKMA XX: Johor juara keseluruhan, Sarawak di kedudukan ke-4

Advertisement
Majlis Penyerahan Bendera Negeri Kepada Ketua Kontinjen Sarawak SUKMA XX oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Hotel Raia sebelum atlet bergerak ke Kuala Lumpur.
Majlis Penyerahan Bendera Negeri Kepada Ketua Kontinjen Sarawak SUKMA XX oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Hotel Raia sebelum atlet bergerak ke Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Lebih seminggu dilangsungkan, temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) melabuhkan tirai secara rasmi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini malam tadi.

Temasya kali ini juga menyaksikan Sarawak berada di kedudukan ke-empat selepas meraih 127 pingat dalam beberapa acara sukan yang dipertandingkan.

Daripada jumlah itu, Sarawak berjaya meraih emas sebanyak 32 pingat, 43 pingat perak dan 52 pingat gangsa hasil usaha keras atlet, jurulatih selain mendapat sokongan padu daripada keluarga, kementerian mahupun persatuan sukan.

Di kedudukan teratas menyaksikan Johor berkuasa besar dalam arena sukan sekali gus mencipta sejarah terulungnya menjadi juara keseluruhan temasya SUKMA XX dengan merangkul 172 pingat.

Daripada jumlah itu 77 pingat ialah emas, 52 perak manakala 43 gangsa.

Juara bertahan empat kali berturut-turut iaitu Terengganu terpaksa akur di kedudukan kedua dengan 169 pingat di mana 64 emas, 49 perak manakala 56 gangsa.

Kedudukan ketiga menyaksikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memperoleh 187 pingat iaitu 55 emas, 68 perak manakala 64 gangsa.

Pada temasya kali ini, Sarawak mempertahankan juara keseluruhan bagi acara tenpin boling yang dilangsungkan di Sunway Mega Lanes, Subang selama lima hari bermula 18 hingga 22 September.

Kejayaan Sarawak menguasai gelanggang itu adalah menerusi barisan 10 pemain boling yang akhirnya membawa pulang 10 pingat daripada 33 pingat yang ditawarkan iaitu empat emas, dua perak manakala empat gangsa.

Pada masa yang sama, kejuaraan pasukan itu dibantu oleh pemain baharu Lavinia Kho Jia Jie yang berjaya meraih pingat emas dalam kategori perseorangan, beregu wanita dan wanita lima berkumpulan.

Sarawak turut unggul dalam acara memanah di mana Sarawak turut memungut enam pingat daripada 42 pingat iaitu empat emas, manakala masing-masing satu perak dan gangsa.

Dalam pada itu, bagi acara terjun pula Sarawak berjaya meraih enam pingat daripada 15 yang ditawarkan iaitu dua emas, tiga perak manakala satu gangsa.

Bagi sukan olahraga, sebanyak 15 pingat daripada 132 acara dipertandingkan di mana ia terdiri daripada lima emas, empat perak manakala enam gangsa.

Bagi acara tinju, Sarawak berjaya meraih lima daripada 48 pingat pingat masing-masing dua emas dan perak manakala satu gangsa.

Dua pingat berjaya diraih daripada 12 pingat ditawarkan menerusi sukan golf iaitu masing-masing satu emas dan gangsa.

Bagi acara gimnastik artistik, Sarawak memungut tiga daripada 42 pingat yang ditawarkan iaitu masing-masing satu emas, perak dan gangsa.

Judo pula berjaya meragut empat daripada 60 pingat iaitu tiga perak dan satu gangsa manakala dua daripada 64 pingat gangsa dicapai menerusi karate.

Tiga pingat gangsa diperoleh daripada sukan boling padang di mana sukan berkenaan menawarkan sebanyak 27 pingat.

Bagi acara muaythai, Sarawak turut merangkul enam daripada 64 pingat yang ditawarkan di mana dua emas dan empat gangsa.

Pencak silat pula beroleh 10 daripada 104 pingat ditawarkan di mana dua emas, dua perak dan enam gangsa.

Dalam pada itu, dua daripada 33 pingat berjaya diraih dari sukan petanque iaitu masing-masing satu perak dan gangsa.

Bagi acara menembak, Sarawak beroleh enam daripada 78 pingat iaitu satu emas, tiga perak manakala dua gangsa.

Sebanyak 15 pingat ditawarkan dalam acara skuasy di mana Sarawak berjaya merangkul dua pingat iaitu satu emas dan satu perak.

Bagi acara renang, sebanyak 21 daripada 114 pingat berjaya dirangkul iaitu lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa.

Tenis menyumbang dua daripada 15 pingat yang ditawarkan iaitu masing-masing satu emas dan perak.

Sarawak beroleh dua daripada enam pingat ditawarkan menerusi sukan bola tampar di mana masing-masing satu emas dan gangsa.

Bagi acara angkat berat Sarawak menuai tiga pingat perak daripada 48 pingat yang ditawarkan manakala 11 daripada 80 pingat berjaya diraih dari sukan wushu di mana empat ialah perak dan tujuh gangsa.

Masing-masing satu pingat perak berjaya diperoleh daripada sukan sepak takraw (15 pingat ditawarkan), bola keranjang (12) manakala satu gangsa diraih menerusi badminton (15),  berbasikal (90), e-sport (15) dan pelayaran (42).

Dalam pada itu, beberapa sukan tidak memperolehi sebarang pingat iaitu bola tampar pantai (enam pingat ditawarkan), kanu (99), kriket (3), bola sepak (3), gimnastik berirama (22), hoki (6), bola jaring (3) dan rugbi (6).

  • oleh
  • Advertisement