Anda di sini

Tiga lelaki pecah masuk, curi kenderaan ditahan

Advertisement
 Antara barangan yang berjaya dirampas pihak polis semasa penahanan suspek.
RAMPAS: Antara barangan yang berjaya dirampas pihak polis semasa penahanan suspek.

PAPAR: Polis berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pecah masuk dan curi kenderaan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam satu operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan BSJ IPD Kota Kinabalu.

“Bertindak dengan maklumat, satu operasi mengesan suspek dijalankan dan hasil tindakan pantas kedua-dua bahagian berjaya menahan suspek di Kota Kinabalu.

“Semasa ditahan kesemua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti jenayah membabitkan kegiatan curi kenderaan dan pecah masuk di Papar,” katanya.

Beliau berkata semasa tangkapan dilaksanakan, pihaknya turut merampas beberapa barangan milik suspek termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna biru serta tiga unit telefon bimbit.

“Suspek sedang ditahan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,

“Kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah jenayah yang berlaku di daerah ini,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah didaerah ini agar memaklumkan kepada pihak PDRM, IPD Papar di talian 088-912 222 untuk tindakan segera.

  • oleh
  • Advertisement