Anda di sini

Pemuda didapati bersalah edar dadah dijatuhi hukuman gantung sampai mati

Advertisement
Tertuduh (tengah) diiring pegawai JKDM semasa keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding kes. 

KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu dan ketamine yang dilakukannya pada September 2019. 

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu terhadap Eric Bong Jong Xiang, 25, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Setelah mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan secara keseluruhannya, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman mati selari dengan Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi pertuduhan pertama. 

"Mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh bagi pertuduhan kedua.

"Selari dengan Seksyen 277 Kanun Acara Jenayah (CPC), mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," ujar Azhahari semasa prosiding hari ini. 

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar 751.0 gram syabu, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar 407.2 gram ketamine.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 25 September 2019, sekitar jam 3.45 petang di sebuah syarikat pengangkutan awam di Jalan Penrissen di sini.

Terdahulu pada 9 Mac, tertuduh diarahkan untuk membela diri setelah mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah juga berpendapat bahawa terdapat bukti menunjukkan tertuduh mempunyai kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut. 

Dalam pada itu, seramai sembilan saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan dalam kes itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam Osman Ibrahim, Roger Chin dan Nur Atiqah Kulah. 
 

  • oleh
  • Advertisement