Anda di sini

UiTM FC akhiri saingan Liga Perdana dengan kemenangan berturut

Advertisement
 Hizaz (dua kanan) bersama rakan-rakannya meraihkan penjaring gol kemenangan Rafie Mat Yaacob (tiga kiri).
HEBAT: Hizaz (dua kanan) bersama rakan-rakannya meraihkan penjaring gol kemenangan Rafie Mat Yaacob (tiga kiri).



KOTA KINABALU: Pasukan UiTM FC melabuh tirai saingan Liga Perdana dengan kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC dalam perlawanan terakhir mereka di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.


Ia merupakan kemenangan berturut di penghujung saingan Liga Perdana selepas skuad 'The Lions' itu juga menundukkan Perak FC dalam perlawanan empat hari sebelum itu.


Dalam perlawanan terakhir mereka, UiTM FC menghadapi tentangan kuat PDRM FC yang menggunakan khidmat tiga pemain import berbanding lawan yang hanya mengerahkan tenaga pemain tempatan memandangkan mereka tidak mempunyai pemain import sejak awal musim.


Skuad The Lions mengambil masa 74 minit untuk menembusi gawang pasukan lawan untuk menjaringkan gol tunggal kemenangan.


Gol itu berpunca dari gerakan Hizaz Lokman yang melakukan hantaran kepada rakannya Amir Adha yang menanduk bola bagi membolehkan Afzal Akbar melakukan hantaran silang dari sudut sebelah kiri dengan mudah ditanduk masuk penyerang Rafie Mat Yaacob.


"Kami berusaha memberi tekanan kepada lawan dengan menggandakan serangan di penghujung permainan dan ia ternyata berhasil untuk kami memperoleh gol kemenangan," kata Hizaz, pemain Sabah FC musim lalu.


Hizaz, 22, ditemui di sini selepas balik bercuti selama seminggu sebelum kembali ke kem UiTM FC untuk meneruskan latihan bagi persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.


Menurutnya, setakat ini, dia akan memberi tumpuan bersama pasukan dalam saingan Piala Malaysia.


"Memang ada juga risikan dari pasukan lain di Semenanjung namun saya masih fokus untuk bersama UiTM FC setakat ini," katanya yang mempunyai perancangan untuk sekurang-kurangnya berkelana selama tiga tahun di Semenanjung.

  • oleh
  • Advertisement