Anda di sini

Lakukan serangan seksual ke atas anak tiri, lelaki kena tujuh tahun, dua sebatan

Advertisement
Tertuduh (dua kanan) berbual dengan seorang lagi peguam di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
Tertuduh (dua kanan) berbual dengan seorang lagi peguam di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan ke atas seorang lelaki berusia 35 tahun selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap anak tirinya yang berusia sembilan tahun.

Hakim Jason Juga turut mengarahkan hukuman ke atas tertuduh dijalankan sejak dia ditahan pada 18 Disember 2019 selain menjalani kaunseling pemulihan di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 semasa menjalani hukuman penjara.

Tertuduh juga diarah diletakkan di bawah pengawasan polis di bawah Seksyen 27 SOACA 2017 selama dua tahun selepas menjalani hukuman.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada sesi perbicaraan akhir kes.

Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh melakukan serangan seksual ke atas anak tirinya dengan memasukkan jarinya ke dalam alat sulit mangsa di sebuah kampung berdekatan Jalan Batu Kitang dekat sini pada 2017.

Difahamkan, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibunya yang seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon hukuman dikenakan ke atasnya diringankan kerana menghidap angin ahmar dan perlu menjaga ibu bapanya yang sudah tua.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan bagaimanapun memohon hukuman lebih berat dikenakan ke atas tertuduh atas alasan kepentingan awam dan kesalahan dilakukannya adalah berat serta serius selain mengambil kira trauma dialami mangsa yang kini sudah berusia 14 tahun.

Kes ini menyaksikan enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

Tertuduh diwakili peguam Christopher Bada.

Advertisement