Anda di sini

Ramli Sarip temui peminat pada 20 November ini di Kuching

Advertisement
: Ramli akan mengadakan Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022: Cinta di Sebalik Musim di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu'adzan Shah pada 20 November ini, jam 7.30 malam.
Ramli akan mengadakan Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022: Cinta di Sebalik Musim di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu'adzan Shah pada 20 November ini, jam 7.30 malam.

KUCHING: Penyanyi legenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip bakal menemui peminatnya di sini pada 20 November ini menerusi Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022: Cinta di Sebalik Musim.

Konsert berkenaan akan diadakan di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu'adzan Shah (Kompleks Islam Sarawak), Kuching dan akan bermula sekitar jam 7.30 malam.

Ramli pada sidang media konsert berkenaan hari ini berkata, ia berkonsepkan majlis makan malam di mana nyanyian yang bakal dipersembahkan merangkumi pelbagai peringkat iaitu kerohanian, popular dan rock serta klasik.

"Saya rasa konsert malam itu bukan hanya makan malam, pilihan lagu juga penting kerana kita sediakan lagu dalam tiga peringkat iaitu kerohanian, popular dan rock serta klasik.

"Pada konsert itu, tuan-puan (penonton) akan dapat berasakan satu perjalanan transformasi dan evolusi yang akan berlaku pada konsert itu.

"Dalam jelajah ini (konsert), banyak perkara ingin disentuh dan akan dikongsikan kerana ia bukan sahaja sekadar hiburan atau suka-suka, namun jelajah ini ada misi untuk disampaikan terutama mencari dana bagi mereka yang memerlukan.

"Dalam pada itu, pada konsert terbabit saya turut kongsikan pengalaman seni iaitu lagu dirakamkan sejak 45 tahun lalu hingga kini ada album terbaharu iaitu Cinta di Sebalik Musim," ujarnya.

Ramli berkata, Cinta di Sebalik Musim menyajikan sesuatu yang segar, moden dan berwawasan.

"Ia (album) boleh dianggap menjadi satu suntikan kepada generasi muda dalam menghasilkan lagu dan album yang lebih dewasa dan bererti kerana kita ada tugas dan tidak kira kita siapa," ujarnya.

Berhubung jumlah lagu yang bakal dinyanyikan, beliau mendedahkan persembahan mungkin sekitar satu jam 45 minit, dua jam atau lebih.

"Bagi saya, soal persembahan kita ikut kemampuan dan ikut penganjur. Sekiranya peminat bertambah suka, kita tambah lagi masa untuk buat persembahan," jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau berharap penonton datang dengan hati terbuka untuk mendalami lagu-lagu yang dinyanyikan bagi membuka lembaran baharu dalam kehidupan masyarakat.

Beliau juga berharap agar jelajah ini bukan hanya diadakan di Kuching, namun ia perlu diperluaskan di seluruh Sarawak.

Sementara itu, Pengurus Yayasan Kepimpinan Al Bait Abdul Hafiz Zainalabidin berkata, harga tiket akan dijual mengikut meja dan sebanyak 84 meja akan disediakan.

"Satu meja akan ada 10 orang dengan harga serendah RM2,000 bagi Bronze, Silver (RM4,000), Ruby (RM6,000), Gold (RM8,000), Diamond (RM10,000) manakala Platinum (RM12,000)," jelasnya.

Orang ramai yang ingin menempah tiket konsert terbabit boleh menghubungi Kurnia (012-8189108), Ain (014-5970664), Syuhaida (0113-3912240), Erin (019-7253842), Syareen (016-5222416), Hafiz (017-8563958), Dewi (018-3835092) dan Syahmina (014-6912747).
 

  • oleh
  • Advertisement