Anda di sini

Abdul Azeez kekal hadapi 9 pertuduhan, 4 tuduhan pengubahan wang haram dibatalkan

Advertisement
PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan sembilan pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat.

Keputusan sebulat suara itu yang dibacakan oleh Hakim Abu Bakar turut memerintahkan perbicaraan kes Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen diteruskan bagi sembilan pertuduhan itu.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan sebahagian rayuan Abdul Azeez iaitu membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Abdul Azeez Abdul Rahim di Mahkamah Putrajaya hari ini - Gambar BERNAMA
Abdul Azeez Abdul Rahim mengangkat tangan ketika berada di lobi Mahkamah Putrajaya hari ini - Gambar BERNAMA

Abdul Azeez, 55, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada Menuju Asas Sdn Bhd. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram. - BERNAMA

Advertisement