Anda di sini

Perbincangan awal PDRM, SPR bantu lancarkan PRU-15

Advertisement
 Idris (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan KJPJKK Sabah di antara Abdul Rahman (kiri) kepada Suparamaniam (kanan).
BAHARU: Idris (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan KJPJKK Sabah di antara Abdul Rahman (kiri) kepada Suparamaniam (kanan).

KOTA KINABALU: Bagi memastikan perjalanan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) berjalan lancar di negeri ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengadakan perbincangan lebih awal dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, perbincangan berkenaan membabitkan perkongsian maklumat yang lebih terperinci khususnya melibatkan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) baharu.

Menurutnya, menerusi perbincangan dengan pihak SPR, pihaknya dapat mengemukakan permasalahan dari segi sistem komunikasi yang boleh mengatasi isu penyaluran maklumat semasa PRU-15 nanti.

"Setakat ini kita masih belum menerima maklumat mengenai kawasan atau PDM baharu untuk PRU-15.

"Kita perlu membuat perancangan awal untuk elak sebarang masalah penyaluran maklumat terutama bagi kawasan yang ada kekangan komunikasi seperti liputan internet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Sabah dan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (KJIPS) Sabah di sini hari ini.

 George (kanan) menerima dokumen serah terima tugas daripada Rahmalah (kiri) sambil disaksikan oleh Idris (tengah).
TUGAS: George (kanan) menerima dokumen serah terima tugas daripada Rahmalah (kiri) sambil disaksikan oleh Idris (tengah).

Idris berkata, pihaknya akan mengadakan satu bengkel pada 1 September ini di Lahad Datu dan ia turut melibatkan perbincangan dengan pihak SPR.

Katanya, perbincangan berkenaan akan diadakan dengan lebih terperinci terutama dalam mengenal pasti masalah di kawasan PDM baharu.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan jumlah kes harian COVID-19 di Sabah masih tinggi.

"Dengan kemasukan pelancong sekarang, masyarakat perlu terus mengamalkan SOP bagi mengelakkan peningkatan kes yang sukar dikawal," katanya.

Pada majlis itu, Idris menyaksikan serah terima tugas di antara mantan Pemangku KJPJKK Sabah Asisten Komisioner Abdul Rahman Kassim kepada KJPJKK Sabah baharu Senior Asisten Komisioner Suparamaniam Ramasamy dan di antara mantan Pemangku KJIPS Sabah Deputi Superintendan Rahmalah Salleh kepada KJIPS Sabah baharu Asisten Komisioner George Abd Rakman.
 

  • oleh
  • Advertisement