Anda di sini

PETRONAS lancar Agenda Pembangunan Modal Insan di Sabah

Advertisement
 Antara pelajar cemerlang SPM 2021 di negeri ini yang ditawarkan dalam Program Penajaan Pendidikan PETRONAS tahun ini.
TAJA: Antara pelajar cemerlang SPM 2021 di negeri ini yang ditawarkan dalam Program Penajaan Pendidikan PETRONAS tahun ini.

KOTA KINABALU: PETRONAS mengambil inisiatif melancarkan Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS bersama kerajaan Sabah bagi membina pelajar yang berdaya saing dan berkualiti.

Agenda ini akan mengasah bakat pelajar di negeri ini melalui pelbagai peringkat pembelajaran supaya mereka mampu menyumbang ke arah kemajuan negeri, khususnya sektor tenaga kerja di sini.

Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah membentangkan agenda itu kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Turut hadir, Presiden PETRONAS merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Tengku Muhammad Taufik; Naib Presiden Kanan Projek dan Teknologi PETRONAS, Bacho Pilong dan Ketua Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia, Syed Mohamad Muhafiz Syed Bakar.

Mohd Bakke berkata, pihaknya sangat berbangga kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Sabah bagi membangunkan modal insan di negeri ini.

“Dengan pelancaran agenda ini, kami berharap dapat memupuk minat, menyediakan peluang serta melahirkan tenaga pakar di Sabah.

“Melalui program dan kemudahan yang disediakan, sudah pasti ramai tenaga kerja berkemahiran dapat dilahirkan di negeri ini, sekali gus menyokong aspirasi tenaga pakar di Sabah,” katanya.

Katanya, agenda ini nanti akan memberi fokus pada pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Ia bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran supaya mereka dapat membantu pertumbuhan sosial, ekonomi dan membantu matlamat kelestarian negara tercapai,”katanya.

Pada majlis itu, PETRONAS turut mengumumkan lebih 100 pelajar terbaik SPM 2021 di Sabah yang ditawarkan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS tahun ini.

Sejak tahun 2003, seramai 563 pelajar Sabah telah mendapat manfaat daripada tajaan PETRONAS membabitkan jumlah RM53.2 juta untuk mereka menyambung pembelajaran di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan universiti terkenal di dalam dan luar negara.

Sementara itu, UTP dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan pengambilan pelajar Sabah dalam mata pelajaran teknikal.

MoU kedua turut ditandatangani antara PETRONAS Global Technical Solutions Sdn Bhd dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd bagi meneroka kerjasama dalam bidang keupayaan teknikal dan pensijilan program serta latihan teknikal.

  • oleh
  • Advertisement