Anda di sini

Lelaki ditahan, disyaki jual cecair perisa ganja untuk vape

Advertisement
Suspek akan berdepan hukuman penjara semur hidup jika sabit kesalahan di bawah Sekysen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek akan berdepan hukuman penjara semur hidup jika sabit kesalahan di bawah Sekysen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SIBU: Seorang lelaki tempatan diberkas kerana disyaki menjual cecair perisa ganja di sebuah kedai di Jalan Kampung Nangka di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu yang bertindak atas maklumat telah menahan suspek berusia 30 tahun itu di kedai berkenaan pada jam 1.50 petang.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai tujuh botol bekas plastik pelbagai label yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis ganja atau kanabis seberat 97.73 gram (gm) bernilai RM1,750," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zulkipli berkata, pihak polis turut merampas 133 biji pil disyaki pil psikotropik yang dianggarkan bernilai RM190.

Menurutnya, saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis THC.

"Semakan pihak polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," ujarnya.

Tambah beliau, suspek telah direman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan katanya, Seksyen 39A(2) ADB 1952 memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara lima tahun dan tidak lebih 10 kali sebatan.

Manakala, bagi kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Hukuman bagi Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pula ialah denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B akta yang sama.

Difahamkan, cecair perisa ganja tersebut adalah untuk kegunaan dalam rokok elektronik (vape) dan boleh mendatangkan khayal kepada perokok vape.
 

  • oleh
  • Advertisement