Anda di sini

ADUN Tamin hulur bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran Rh Jungan

Advertisement

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang menghulurkan sumbangan kewangan RM43,000 kepada mangsa kebakaran di Rumah Jungan Gerang di Batu 36, Jalan Sibu-Selangau pada Rabu.

Dalam catatan di laman sosialnya, beliau memberitahu 33 pintu rumah tersebut musnah.

"Buat masa ini mangsa kebakaran ditempatkan di Gereja St Maria Batu 36 sambil menunggu pembinaan penempatan sementara. Untuk meringankan beban mereka, saya menyalurkan wang tunai sebanyak RM43,000 untuk kegunaan membeli barang-barang keperluan harian," jelasnya.

 Gira (empat kiri) menyerahkan bantuan kewangan kepada Tuai Rumah Jungan.
 Gira (empat kiri) menyerahkan bantuan kewangan kepada Tuai Rumah Jungan.

Sementara itu, Gira merakamkan penghargaannya kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah kerana telah bertindak segera menyalurkan sumbangan berbentuk makanan dan kemudahan lain.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada  Ahli Yang Berhormat terutama dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang persendirian walaupun berbagai bangsa dan agama yang turut sama menyumbangkan bantuan dalam bentuk kewangan dan tenaga kepada penduduk Rumah Jungan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada ketua kaum, ketua masyarakat, kaunselor dan penduduk setempat yang turut sama memberi sumbangan meringankan beban mangsa kebakaran," ujarnya.

Gira juga memohon agar penduduk yang ditimpa bencana ini agar terus bersabar dan tabah.

"Kita akan usahakan yang terbaik dalam membantu mangsa kebakaran dalam masa terdekat," tambahnya lagi.

Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak Edwin Banta dan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai.

Rumah Jungan sepanjang 37 pintu musnah dalam kejadian kebakaran pada pagi Selasa kira-kira jam 6.45 pagi.

Seramai 171 orang penduduknya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah.

Insiden tersebut tidak membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa.

Advertisement