Anda di sini

Sarawak Petchem, BPA dan BPSB meterai kerjasama tubuh Jeti Metanol Sarawak

Advertisement
(Dari kiri depan) Medan, Mohammad dan Mizool selepas selesai menandatangani MoU sambil disaksikan oleh (Dari kiri belakang) Matshalleh, Abdul Aziz, Dr Mohd dan Robert.
(Dari kiri) Medan, Mohammad dan Mizool selepas selesai menandatangani MoU sambil disaksikan oleh (Belakang, dari kiri) Matshalleh, Abdul Aziz, Dr Mohd dan Robert.

BINTULU: Sarawak Petchem Sdn Bhd (Sarawak Petchem), Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) dan Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Tiga Pihak untuk bekerjasama dalam penubuhan dan pengendalian Jeti Metanol Sarawak dalam kawasan perairan Pelabuhan Bintulu.

Setelah siap, jeti Metanol Sarawak akan digunakan untuk memuat dan mengeksport produk metanol cecair Sarawak Petchem yang dijana Loji Metanolnya di sini yang kini sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi pada suku pertama 2024.

Projek ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak untuk memajukan dan realisasi wawasan negeri untuk menjadi hab petrokimia susulan limpahan sumber alam semula jadi yang ada di negeri ini.

Kompleks metanol yang dibina di kawasan tanah seluas 432 hektar dalam Hab Petrokimia Sarawak mempunyai kapasiti 1.75 juta tan setahun akan menggunakan gas asli sebagai bahan mentah utamanya untuk menghasilkan metanol. 

Metanol ialah bahan yang digunakan untuk mengeluarkan banyak produk pengguna dan perindustrian serta merupakan sumber bahan api alternatif yang mampu dipasarkan ke negara-negara dari Asia Pasifik terutamanya di Asia Tenggara, Tanah Besar China dan Taiwan, Korea, Jepun dan India.

Sebagai tanda memperingati peristiwa penting itu, majlis menandatangani perjanjian telah diadakan semalam antara Sarawak Petchem yang diwakili Pengarah projeknya, Mohammad Ibrahim.

Manakala BPA diwakili oleh Pengurus Besarnya, Mizool Amir Mat Drus dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) Dato Mohammad Medan Abdullah mewakili BPSB.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr Mohd Abdullah Zaidel yang mewakili kerajaan negeri, Pengerusi Sarawak Petchem Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain, Pengerusi BPA Datuk Robert Lawson Chuat dan Ketua Pegawai Operasi BPSB Matshalleh Mohammad Etli.

MoU itu meliputi 10 bidang utama kerjasama yang meliputi operasi selamat Jeti Metanol Sarawak merangkumi Kesihatan, Keselamatan, Kawalan Keselamatan dan Alam Sekitar; penubuhan perkhidmatan marin dan sistem pengurusan jeti dan penyediaan nasihat teknikal dan sokongan berhubung dengan Jeti Metanol Sarawak.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, beliau yakin usaha bersepadu dari tiga pihak ini akan menjayakan visi yang terkandung dalam MoU tersebut.

Manakala BPA dan BPSB menyatakan penghargaan jaminan mereka untuk menyediakan sokongan, nasihat dan perkhidmatan yang diperlukan oleh Sarawak Petchem bagi memastikan kelancaran operasi Jeti Metanol Sarawak seperti yang dirancang.

Ketiga-tiga pihak memainkan peranan aktif dalam memastikan penyiapan dan operasi Jeti Metanol Sarawak berjaya dilakukan dan merealisasikan visi negeri untuk menjadikan negeri ini Hab Petrokimia.

Advertisement