Anda di sini

Pertembungan

Advertisement
 


Oleh Jong Chian Lai

KERINGAT jantan membasahi tubuhnya. Dia mengecengkan mata, membidik senapangnya ke arah tubuh itu. Matanya meliar kerana api kemarahan sedang membakar hati. Luapan kemarahan semakin mendesaknya untuk melepaskan picu senapang. Wajahnya adalah pigura seorang pahlawan yang ingin mengganyang musuh. Dia tidak mahu melakarkan sejarah bangsanya sebagai kaum yang tidak mempunyai nilai-nilai mengenang budi pada tanah tumpah darahnya. Ini tanah kelahirannya. Ini tanah kemerdekaannya. Inilah tanah yang sekujur tubuhnya akan terkubur nanti. 
      "Tali barut!" Berderau darah menyembur ke mukanya. Muka itu pucat. Tangannya mencekak leher baju; digoncangkannya beberapa kali. 
       Voon Hua tidak melawan. Dia membebel ketakutan. Matanya redup. Pandangannya tertancap pada tanah; bumi tempat kelahirannya, tanah tempat nenek moyangnya singgah setelah melambai tembok besar 10, 000 li itu. Bukan dia tidak pernah ketemu Ngan Wah. Malah dia telah dinasihatkan supaya tidak lagi membekalkan makanan kepada gerombolan komunis di daerah itu. Dia akan kehilangan segala-galanya kalau enggan menjadi tali barut mereka. Dia tidak dapat mengorbankan nyawa anaknya lagi. Cukuplah sudah seorang anak lelakinya menjadi mangsa mereka. Dia memang berkeras tidak mahu menyokong perjuangan komunis. Namun padahnya sangat meremukkan hati. Wajah anak lelakinya ketika diheret musuh secara paksa sering menjenguk jendela mindanya. 
      "Kau kecewakan aku," suara Ngan Wah semakin keras. Terjongol mata Ngan Wah seakan-akan ingin menakutkan lelaki itu. 
      "Anak-anakku mau hidup," nada suara yang terdesak. Tubuh itu terhinggut­hinggut menyimpan segala resah yang membelit kehidupannya. 
      "Aku rela mati untuk bangsa kita. Mana maruah kau? Kau pentingkan diri sendiri. Bangsa yang tidak percaya pada kekuatan dirinya sendiri sebagai suatu bangsa, tidak akan dapat berdiri sebagai suatu bangsa yang merdeka." Memerah saga biji matanya menatap liar pada muka itu. 
      "Bolehkah kaupulangkan Kuo Ming?" Pekiknya sambil meratap hiba. Seekor dua tupai bertempiaran lari dari kawasan itu. 
       Pada malam mendung itu, rumahnya dicerobohi tanpa disedari, cuma kedengaran Mei Mei menjerit sekali sahaja. Jeritan Mei Mei mencantas malam kaku lagi sepi, melorongkan suara pekikannya ke cuping beberapa ekor anjing; langsung terjadi pertembungan lolongan yang sayup memanjang menyeru pontianak yang menerawang di padang langit petang. Kemudian begitu sepi. Keadaan di luar kedai menjadi begitu tegang. Ramai askar yang mengepung kedainya. Pada malam celaka itu seseorang telah menyelamatkan maruah dan nyawa Mei Mei. Penceroboh itu mudah ditewaskannya dengan sebilah pisau. Mata mereka bertembung liar bagai serigala jantan yang ingin menguasai kumpulannya. Lelaki itu menghantar satu tafsiran melalui tindakannya bahawa pengorbanannya itu perlu dibalas; pengorbanan untuk memerdekakan diri daripada menjadi tali barut komunis. 
      "Apa balasan kau sebagai rakyat?" Voon Hua terpanah oleh pertanyaan itu. Kebencian itu meributkan hatinya. 
      "Satu hari nanti kau akan sujud di hadapan aku!" Laung Voon Hua yang tidak tahan mendengar cacian itu. Askar itu melangkah pergi sambil menghentak kuat tapak kasut pada lantai tanah kedainya. 
       Pertembungan dengan askar bongkak itu minggu lepas menyihirkan matanya. Dia sukar untuk terlelap. Ada ura-ura tali barut komunis akan disoal siasat, ditahan, masuk lokap dan sehingga dia mendapat pengampunan akan merasa bunga-bunga kemerdekaan semula. Mimpi buruk itu bakal menyelinap masuk ke dalam rumah itu. Badi itu terkena pada keluarganya. Hatinya disuntik bisa lipan; bisa-bisanya meracuni perasaan. Bukan mudah menghalau mimpi buruk. Dia terpaksa waktu itu; menggadai anak, menggadai maruah, menggadai bangsa dan menggadai negara. 
      "Ah Voon, lekas buka pintu kedai ni!" 
       Dia mengecam suara keras itu. Hatinya mula bertambah berang apabila terbayang wajah seseorang yang paling dibencinya. 
      "Ke balai!" pekikannya mengejutkan seekor anjing kurus dan kurap yang terbaring di kaki lima kedai itu. Bau anjing itu tersedut ke hidungnya; amat meloyakan kerana kudisnya sudah berulat semacam merebaknya kegiatan orang-orang pekan membantu komunis. 
       Ketua balai merenung wajah sayu Voon Hua. Dia masih tunduk kerana menyorokkan muka malunya. Ngan Wah bercakap bahasa Inggeris dengan ketua balai itu. Lelaki itu tidak mengerti. Dia melingas-lingas sekeliling. Matanya tertancap pada lokap yang masih puang itu. Suara Ngan Wah begitu keras bertengkar dengan ketua balai. Dia menuding ke arah lelaki itu. Mata liarnya tertancap ke situ. Ada kebencian yang terkubur dalam hatinya terhadap Voon Hua. Voon Hua tidak mengerti. Bukan dia seorang sahaja dalam keadaan 'keterpaksaan' menyokong perjuangan komunis itu. Di wajah Ngan Wah, terpercik api kemarahan yang menyala. 
      "Apa salah aku?" 
       Dia ditarik oleh dua anggota polis. Selepas itu palang-palang besi itu berada di hadapannya. 
      "Pembelot!" Ngan Wah melaung dari luar. Suaranya menyelinap masuk ke cuping Voon Hua. Tapak tangan Voon Hua menggenggam kukuh palang-palang besi itu sehingga peluh membasahinya. 
      "Awak masih sokong komunis. Awak ditahan," jelas ketua balai sambil mendengar alasan Voon Hua. 
       Ketawa penuh sindiran itu sekali-sekala masih mengusik deria dengarnya sehingga usia Voon Hua melewati lima puluh satu tahun. Selepas itu dia benar-benar merasa merdeka daripada cengkaman komunis; bebas daripada menjadi tali barut musuh negara, terlerai ceracak-ceracak bimbang yang memenjara keluarganya. Kepompong bimbang itu memenjara pula anak daranya yang berusia dua puluh tujuh tahun setelah membisikkan secebis ungkapan rahsia di cuping ibunya. Kemudian pada malam sunyi itu; Soh Ang begitu manja membisikkan sesuatu sambil berbaring membelakanginya di atas tilam kapas usang. Dia tidak dapat menatap wajah suaminya kerana rasa bimbang itu sudah mercup di dalam hati; mentafsirkan mungkin hajat anak daranya tidak mendatangkan rasa ceria pada seorang ayah. 
      "Lupakan aje askar tu," nasihat Soh Ang sambil menatap lelangit kelambu. 
      "Aku malu! Hatiku dah hitam. Dia bongkak! Siapa nak jadi pembelot negara? Bukankah nenek moyang kita datang dari tembok besar... dan memberontak terhadap Brooke untuk hidup senang di sini? Nenek moyang dah tanam semangat berjuang untuk negara ni." Voon Hua bangkit. Kemudian menguak pintu kelambu. Dia mencicip teh Cina yang masih hangat di dalam teko kecil. Dia meneguk beberapa kali; bunyinya sangat rakus. 
      "Dahlah Ah Hua. Usah dendam lagi. Kita pindah aje. Malu awak boleh hilang," usul Soh Ang. 
       Voon Hua membaringkan diri sambil menatap lelangit kelambu. Kemudian memandang mesra wajah Soh Ang yang memiring ke arahnya. 
      "Bukankah malu pada diri sendiri tidak pernah hilang dari hati? Rasa malu itu yang payah untuk dibuangkan. Payah!" Suaranya keras. Mata liarnya menentang mata sayu Soh Ang. Ada air yang bertakung di kelopak mata perempuan itu. 
      "Biarpun pindah ke bulan, sekalipun pindah ke matahari... malu itu tetap terkubur di sini." Dia menuding dadanya. "Bila aku mati nanti, ia tetap turut dikuburkan. Aku malu Soh Ang. Malu bukannya di muka. Tapi hati ni... parah. Malu!" Tersembur air liur Voon Hua. Kemudian Soh Ang tidak dapat melayan suaminya yang sering berbicara tentang rasa malunya apabila masuk tidur. 
      "Kenapa dia kejam sangat pada keluarga kita?" 

 

       Soh Ang melihat bayangan tapak tangan suaminya tergenggam pada dinding kelambu itu. 
      "Salahkah aku mempertahankan keluarga kita? Kalau tak kau, aku yang jadi mangsa mereka. Kalau tidak, tentu Mei Mei. Salahkah aku?" Tergenang air mata di kelopak tua itu. Soh Ang yang terpandang dicengkam perasaan pilu. 
       Pohon-pohon gelisah tumbuh subur di hati Voon Hua. Ramai rakannya mulai menjauhkan diri selepas pembebasannya dari lokap itu. Ada ura-ura dia akan kembali menyokong saki-baki komunis di daerah itu. Mungkin rasa dendamnya pada Ngan Wah. Mungkin juga untuk menyelamatkan nyawa anak lelakinya. Dia sendiri pun tidak mengetahui perkembangan Kuo Ming yang terpaksa berjuang bersama gerombolan komunis itu. Tetapi ramai yang membisikkan bahawa dia tidak siuman lagi. Dia sering bercakap-cakap sendirian. Dia menyebut nama antara pemuda itu dengan anak lelakinya. Kebenciannya pada pemuda itu bagai lahar gunung berapi; meluap­luap ingin meletus. Pada malam bulan membunga kembang, kegemparan meragut keluarganya. Voon Hua ingin membakar kedainya. Dia telah menyimbah minyak tanah pada kedai papan itu. Percubaan Voon Hua telah kecundang. Mei Mei telah mengetahui kecurigaan ayahnya. Dia dihalang sebelum sampai ke pengetahuan penghuni pekan itu. 
      "Bapak perhati... semenjak dari pekan tu, kau terima surat daripada seseorang. Di kampung Batu Tujuh ni, masih juga menerimanya. Adakah dia orang yang sama?" Voon Hua cuba mentafsir rahsia di sebalik wajah lembut anaknya. 
       Syukur juga dia mendengar cadangan isterinya untuk berpindah ke daerah Kuching. Entah macam mana, dingin juga hatinya waktu itu. Hatinya membunga riang kerana tanaman sayur-sayurannya subur. Tanah-tanah di perkampungan itu amat subur sekali. Dia dapat menatap dengan mata hatinya bagaimana harapan menggunung itu akan mendamaikan keretakan dan mendatangkan keamanan dan rasa cintanya semula dalam kehidupan mereka. Dia sudah lama mengikis dendam, luka, kecewa dan marah dalam hatinya pada askar itu. Dia menancap pada tubuh kurus yang gigih bekerja di kebun itu. Bukan titisan hujan, bukan percikan mentari dapat menghalang perempuan itu mengusahakan kebunnya. 
       "Ya pak, tapi dia jauh." Sahutnya ringkas, ada getaran dalam nada suara itu. 
       "Tak apa, jauh pun kalau dah jodoh, tentunya tak ke mana." Voon Hua menatap muka berminyak Mei Mei. Terjadi pertembungan pandangan. Mata anaknya mengerdip, redup dan pasrah. 
       "Dia askar?" desak Voon Hua. 
       "Pak, tunggulah nanti ...." Hati Voon Hua dirundung kesedihan semula. 
       "Kau pernah tengok si lelaki keparat tu?" Wajah Voon Hua kembali sugul. 
       "Tak pernah, pak." Wajah anak perempuan tidak seceria pagi tadi. Dia tahu beberapa tahun yang lalu, seorang askar pernah menyelamatkannya daripada mangsa rogol komunis di dalam kedai mereka. Tetapi dia pitam waktu itu. 
      "Kenapa pak?" Mei Mei mencucuk ranting ke dalam tanah. Kemudian menabur benih-benih kacang panjang, menutup lubang itu semula. Dia mencabut rumput benggala, rumput gerinting di atas batas itu. 
      "Lama juga bapak fikir. Sebenarnya dia ajar aku. Jadi rakyat yang cintakan negara. Berkorban untuk negara. Berjasa pada negara. Jangan khianati negara. Aku tak dapat tafsirkan makna di sebalik rasa malu yang dicetuskan olehnya." Matanya mengecil kerana tidak dapat menahan tusukan jejarum matahari yang semakin tajam itu.
       Voon Hua merebahkan tubuh letihnya di atas kerusi malas yang diperbuat daripada rotan. Api lampu pam terkejut disergah angin sombong. Apinya terlompat keluar dari bingkai kaca bulat itu. Voon Hua mengepam beberapa kali lampu itu. Api itu semakin cerah. Tangannya mencapai surat khabar yang dilipat di bawah meja usang itu. Di dadanya terpampang wajah seseorang. Di dada itu tersingkap citra-citra wajah kebenciannya. Jaringan kemarahan menjerut hatinya. Mata tuanya tidak menipunya. Memang itulah lelaki yang menyelamatkan anak daranya. Lelaki itu yang mengherdiknya ketika dalam hutan. Lelaki itu yang menyumbatnya ke dalam lokap. Sekarang lelaki itu yang terbaring kaku di atas katil hospital. Darah gemuruh menghangatkan tubuhnya. 
      "Kau tengok ni... tengok muka si celaka ni. Dia bawa mimpi buruk ke mana saja aku pergi." Geram hatinya yang sudah terkubur, termuntah kembali untuk membenci lelaki itu. 
      "Mei Mei!" Lantunan suaranya bergema. 
      "Kenapa lelaki keparat ni?" Dahinya meretak. Merah mukanya. 
      "Dia terkena jerangkap samar, pak." Suara Mei Mei gementar. Gementar juga tangan yang merenyukkan surat khabar itu. 
      "Tuhan membalas juga kejahatannya. Orang jahat patut begitu." Voon Hua membebaskan sisa-sisa amarah yang masih terkubur dalam hatinya. 
      "Bukankah bapak sanjung dia? Bapak kata begitu minggu lepas..." Mei Mei memprotes. Bunga kegembiraan yang mekar mulai menguncup apabila mendengar suara-suara benci seorang ayah. 
      "Memang. Tapi melihat mukanya, aku kembali benci. Sungguh benci." Dia menggenggam kedua-dua tapak tangannya sambil mengetap gigi gerahamnya. Perasaan malu di pekan itu mulai tertayang di layar mindanya. 
      "Ini mimpi buruk. Macam dia begitu dekat dengan kita," Voon Hua mentafsirkan sesuatu tetapi tidak dapat menjelaskan dengan bukti dan kebenaran. 
       Voon Hua mendengar bunyi tapak kaki anak perempuan. Daun pintu terkuak.   Bunyi engselnya yang tidak dibubuh minyak kacang mengilukan giginya. Fragmen-­fragmen jalur kehidupan hitamnya mula terpapar pada skrin minda yang semakin kabur itu. Di dalamnya terpersil wajah bengis seorang askar yang paling dibencinya. Mindanya memancarkan rakaman kembali askar itu mengherdik dan mengheretnya ke balai. Askar itu juga yang menyimbah tuba malu dalam hatinya. Jantung Voon Hua semakin kencang mengetuk-ngetuk tulang dadanya. Dia boleh mendengar degupan jantung itu. Perasaan dendamnya kembali menghantui mindanya. 
      "Aku mahu sujud di depannya. Aku berdosa. Aku silap." Suara seorang lelaki semakin jelas menerobos ke bilik Voon Hua. Mei Mei tidak menyahut. Matanya kebasahan menahan sebak dalam dada. Tubuh Mei Mei semakin kuat gementar. 
       Lelaki itu semakin terkeliru membayangkan kekusutan yang menyimpul hati Mei Mei. Ada sesuatu yang cukup sukar untuk diluahkan ketika pertemuan itu. Mei Mei tidak cukup tegar rasa keberaniannya untuk mendedahkan kekusutan seperti bebenang Ielabah yang terkoyak. Seorang pemuda beramus tebal, kejap tangan itu menyentuh bahunya. Bukan Ielaki yang puntung kaki sebelah kirinya. Mei Mei semakin terkeliru lagi. 
       Mata Mei Mei terbelalak menancap pada ayah yang menggenggam parang.  Voon Hua melangkah ke arah mereka. Lelaki itu amat terkejut menatap ayah Mei Mei. Dia terbayangkan seseorang; mungkin pelanduk dua serupa di hadapannya. Wajah itu memerah saga; menanggung kemuncak kemarahannya. Soh Ang yang tercegat di pintu dapur tergagap-gagap. Dia terpaku. Tidak mungkin dapat mengawal suaminya yang kehilangan akal. Mimpi buruk bakal menimpa keluarga mereka lagi. Seorang pemuda beramus tebal, masih mendepangkan tangannya di hadapan Voon Hua. 
       Lelaki itu lekas-Iekas kowtow beberapa kali di hadapan Voon Hua, "Maafkan aku...." Dia tidak berani menatap ayah Mei Mei. 
       Mata Voon Hua mencerlang tajam pada wajah yang masih sujud itu. Kepalanya terkulai layu. Maka sukar untuknya memastikan wajah lelaki itu.
      "Kau sujud juga... akhirnya!" Seakan-akan pecah peti suaranya melaung kuat. Voon Hua menuding jarinya pada lelaki yang berteleku di hadapannya. 
      "Ini anak aku!" Dia menuding anak perempuannya. "Anak tali barut komunis!" Matanya melotot pada muka pucat lesi itu. 
       Ketegangan terpancar di wajah Ngan Wah. 
      "Aku memang salah..." suaranya sebak. Tubuhnya terhinggut-hinggut menahan tangisan. 
      "Pak... pak. Tiga bulan lepas baru Mei Mei tahu. Bapak tak suka dia. Tapi pak, Mei Mei dah lama berkawan dengannya.... " Suaranya gementar. Kata-katanya itu pasti menyemarakkan api kemarahan ayahnya. 
      "Pak, dia selamatkan maruah Mei Mei. Dia patut jadi... Itu niat aku, pak."  Renungan tajamnya melekap pada wajah lelaki itu. 
       Voon Hua meratap tua. Tidak sanggup dia mencederakan askar yang pernah menyedarkannya tentang budinya pada bumi dipijak langit dijunjung. Sukar pula untuk memusnahkan impian yang cukup lama dipendam dalam hati Mei Mei. Dia menatap wajah Mei Mei yang merah, memaparkan puncak kebingungannya menghadapi situasi sukar itu. Dia menancapkan matanya pada kaki kudung lelaki itu. Dia menjeling tajam ke arah isteri yang masih melopong mulutnya. Kemudian dia merasa malu dengan dirinya sendiri. Voon Hua ingin sekali menampar muka sendiri. Atau askar itu menamparnya berkali-kali supaya dia tersedar. Kebenciannya belum terpadam melihat askar yang berjuang untuk kemerdekaan negara tersungkur kudung di hadapannya. Dia tidak mampu membalas jasanya. 
       Pemuda yang beramus tebal menepuk bahu Voon Hua. Dia menoleh.  Pertembungan mata mereka menjadi begitu kaku. Voon Hua terasa seseorang yang begitu lama kehilangan dipertemukan kembali. Dia tersenyum. Kemudian ketawa terbahak-bahak. 
      "Aku... bawa dia pulang..." lelaki itu menudingkan jarinya pada seseorang.   Matanya liar tertancap pada setiap wajah di situ. 
      "Kuo Ming!" terpacul suara Soh Ang. 
      "Kuo Ming!" Mei Mei memeluk abangnya. 
      "Kuo Ming!" Ratapan tua Voon Hua semakin menjadi-jadi. 

Glosari
 li          unit ukuran jarak yang digunakan oleh masyarakat Cina yang bersamaan dengan 500 meter atau setengah kilometer. 
puang   kosong (Dialek Melayu Sarawak). 

 
 
Advertisement