Anda di sini

Potensi e-sukan sebagai industri jana ekonomi tinggi

Advertisement

BINTULU: Sukan elektronik atau e-sukan berpotensi menjadi industri yang mampu menjana pertumbuhan tinggi ekonomi kepada negara dan negeri ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Dato Majang Renggi berkata, e-sukan akan memainkan peranan yang sangat positif dalam pertumbuhan ekonomi masa depan Sarawak, sekali gus menjana pendapatan dan mencipta pekerjaan.

"Mungkin, salah satu kelebihan e-sukan yang paling ketara ialah keterangkumannya. Ia memberi peluang kepada atlet yang kurang upaya dan sekatan pergerakan untuk bersaing di pentas yang sama dengan atlet biasa," katanya merasmikan Pertandingan 'Mobile Game Honor of Glory Exchange 2022' di pusat beli-belah Times Square Megamall di sini, hari ini.

Majang menerima kemeja-T sebagai tanda penghargaan daripada jawatankuasa penganjur Pertandingan 'Mobile Game Honor of Glory Exchange 2022' di pusat beli-belah Times Square Megamall Bintulu, hari ini.
Majang menerima kemeja-T sebagai tanda penghargaan daripada jawatankuasa penganjur Pertandingan 'Mobile Game Honor of Glory Exchange 2022' di pusat beli-belah Times Square Megamall Bintulu, hari ini.

Beliau berkata, e-sukan terkini dan popular dalam kalangan penduduk terutamanya belia.

"Pertandingan e-sukan itu merupakan salah satu aktiviti yang telah disenaraikan di bawah program Fiesta Merdeka 2022 bertemakan 'Kami Komuniti Untuk Menjadikan Bintulu Lebih Baik'," katanya.

Majang menyatakan rasa gembira dengan komitmen kuat yang ditunjukkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bintulu, Junior Chamber International (JCI) Kidurong, Art Cyber Tech dan Dayak Think-Tank sebagai penganjur bersama dan disokong Times Square Megamall untuk acara dua hari tersebut.

"Saya berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti perniagaan pada masa hadapan untuk mempromosikan e-sukan ini di negeri ini khususnya Bintulu," katanya.

Menurutnya, sambutan Hari Merdeka bermula sejak awal Ogos lalu dengan pelbagai program sukan, kebudayaan dan pendidikan.

Tambahnya, aktiviti dan sambutan ini dianjurkan di tempat yang berbeza seperti di setiap daerah, negeri dan di peringkat kebangsaan, justeru Ogos sering dikenali sebagai Bulan Kebangsaan.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' yang selaras dengan komitmen dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berasaskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah atau imperialis, pada masa kini kita berdepan dengan cabaran berbeza seperti kenaikan kos sara hidup, perubahan iklim, berita palsu, penipuan dalam talian dan isu-isu lain yang boleh menjejaskan keharmonian yang terjalin selama ini," katanya.

Beliau berkata, selepas bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu negara kini memasuki fasa peralihan kepada endemik dan rakyat mula menikmati kesejahteraan hidup seperti sebelum wabak itu melanda dunia.

Majang berharap setiap orang akan terus mengekal dan meningkatkan semangat patriotik serta menunjukkan toleransi kepada jiran tanpa mengira etnik, budaya dan latar belakang agama.

Advertisement