Anda di sini

Penantian penduduk lebih 40 tahun berakhir

Advertisement

Seramai 190 penduduk lima kampung di Tongod akhirnya memperolehi hak milik geran tanah

 Sebahagian daripada penduduk menerima geran tanah mengabadikan kena ngam bersama Masiung.
GEMBIRA: Sebahagian daripada penduduk menerima geran tanah mengabadikan kena ngam bersama Masiung.

KAMI terpaksa bertindak sebagai hero kampung menghalang sebarang jentera atau kenderaan berat mencerobohi penempatan kami," kata Erick Ukil, 54, Pengerusi Pengukuran Pantas di lima kampung di daerah Tongod.

Beliau menceritakan detik-detik sukar bersama penghuni lain ketika berjuang mendapatkan hak milik tanah di Kampung Kirunggu, Kotodon dan Simpang Entilibon, Sogo-Sogo dan Lingkabong 40 tahun yang lalu.

Mereka terpaksa mengambil jalan  berani berdepan pemilik syarikat-syarikat luar yang kononnya telah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa menerokai tapak perkampungan tradisi itu untuk dijadikan kawasan estet kelapa sawit.

Walaupun ramai penduduk asal di penempatan itu, termasuk kedua ibu bapa mereka telah meninggal dunia, namun sebagai generasi pelapis, mereka meneruskan usaha menuntut hak ke atas tanah tersebut sehingga wujud lima perkampungan.

"Kami cuma berbakalkan semangat untuk mempertahankan ugutan dan psikologi beberapa  syarikat besar yang mahu mengambil tanah tumpah darah kami sebagai warga Bumiputera yang sudah berakar-umbi menatap di sini.

"Sejak dulu, kami berpakat dan berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapatkan geran. Tanpa disedari usaha kami telah melalui lima kerajaan negeri terdahulu," tegas beliau.

ERICK, CHARLES, IVANA SHERRIBE
ERICK, CHARLES, IVANA SHERRIBE

Menurut Erick, mujur pada tahun 2018 beliau bersama penduduk menemui Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah, bagi mengemukakan rayuan permohonan tanah di penempatan tersebut.

Tanpa disangka dua tahun kemudian, katanya, penduduk lima kampung tersebut menerima khabar gembira apabila Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sandakan bersetuju mengukur penempatan tersebut menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

 Pengerusi JPKK Kg Kironguh, Daminus Suiking menerima geran tanah bagi pihak lima kampung daripada Masiung, sambil disaksikan Pegawai JTU Tongod, Sebastian Ibau.
SIMBOLIK: Pengerusi JPKK Kg Kironguh, Daminus Suiking menerima geran tanah bagi pihak lima kampung daripada Masiung, sambil disaksikan Pegawai JTU Tongod, Sebastian Ibau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kironguh, Daminus Suiking, 62, berasa syukur kerana hasil campurtangan Wakil Rakyat Kuamut yang senonim dengan slogan `Tatap Kalaga' itu (Tatap Sampai) tiga tahun lalu semua pemohon telah berjaya memperolehi kelulusan untuk menyukat lot masing-masing.

"Sebelum mendapat kelulusan dari dari JTU, kami sanggup bergadai nyawa mempertahankan kawasan penempatan ini. Setiap jalan masuk ke kampung ini, kami bina  gate (pintu pagar) secara bergotong-royong menggunakan kayu bersaiz besar," katanya.

Hujung minggu lalu, seramai 190 penduduk dari lima kampung, iaitu Kampung Kironguh, Simpang Entilibon, Lingkabong,  Sogo-Sogo dan Kotodon berjaya memperolehi hak milik geran tanah yang disampaikan sendiri oleh Masiung selepas penantian lebih 40 tahun.

Rasa syukur jelas terpacar di wajah penduduk yang telah berjaya memperolehi geran tanah masing-masing di lima kampung tersebut.

 Masiung turut meneliti geran yang diterima oleh penduduk selepas merasmikan majlis.
GERAN BAHARU: Masiung turut meneliti geran yang diterima oleh penduduk selepas merasmikan majlis.

Menurut Daminus, walaupun mengetahui usaha mereka agak terbatas untuk mengekang kuasa syarikat-syarikat luar menerokai  penempatan tersebut, namun semangat mereka sebagai warga Bumiputera tetap kuat demi mempertahankan tanah tradisi yang menjadi sebahagian darah daging mereka.

"Kami sanggup berkawal di setiap pintu masuk jalan kampung ini utk menghalang sebarang pencerobohan luar.

"Kami pernah menerima ugutan oleh syarikat luar yang mendakwa mendapat kelulusan dari pihak berkuasa, tapi kami berkeras demi mempertahankan hak kami sebagai  penghuni asal di penempatan ini.

"Namun kami berasa syukur kerana usaha kami berakhir dengan kejayaan apabila hari ini kami dapat menerima geran sebagai hadiah paling berharga hasil perjuangan kami," ujarnya.

Seorang penerima geran tanah, Charles Eraliales, 46, menzahirkan rasa terhutang budi kepada Masiung sebagai pemimpin memahami masalah penduduk di perkampungan itu.

Katanya, walaupun sebelum ini ramai pemimpin politik yang menawarkan diri untuk membantu namun tidak berhasil.

Katanya, mereka sekampung telah berpakat untuk mempertahankan penempatan tersebut agar tidak jatuh ke tangan syarikat luar.

Jelasnya, ada juga pemimpin di kawasan itu sebelum ini cuma menawarkan khidmat mambantu kami semasa kempen pilihan raya, tetapi mereka tidak ikhlas dan menghilangkan diri selepas pilihan raya.

Seorang ibu, Ivana Sherribe Anas, 52, dari Kampung Simpang Entilibon yang turut menerima geran tanah, melahirkan rasa lega kerana kerajaan akhirnya berpihak kepada penduduk memilik kawasan panas itu.

Drama perebutan antara penduduk asal dan syarikat luar selama lebih 40 tahun akhirnya selesai apabila  geran menjadi milik pemohon yang mendiami kawasan berkenaan.

Menurutnya, tempoh begitu lama menanti hak milik tanah adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilalui dan terpaksa menempuhi pelbagai cabaran.

Sementara itu,  semasa berucap di majlis penyampaian geran tanah di Kampung Kirunggu, Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mahukan penduduk yang telah memiliki geran supaya mengusahakan tanah tersebut sebagai asid ekonomi.

Katanya, sejak lima tahun lalu hampir 10,000 ekar tanah telah diagihkan kepada penduduk di daerah Tongod kebanyakanya menerusi program PANTAS.

“Usaha membantu penduduk mendapatkan geran tanah memang agenda utama menjadi ikrar saya ketika menerajui kepimpinan di Kuamut.

“Kerana itu saya bekerja keras menunaikan janji itu kepada rakyat yang mengharapkan khidmat saya,“ jelasnya, sambil mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai yang hadir.

Beliau menggesa penduduk  supaya tidak menjual tanah-tanah mereka kepada orang luar sebaliknya membuka tanah tersebut untuk rutin ekonomi.

 Masiung beramah mesra dengan penduduk sejurus tiba merasmikan majlis penyerahan geran tanah.
MESRA: Masiung beramah mesra dengan penduduk sejurus tiba merasmikan majlis penyerahan geran tanah.

Masiung berkata sejak dipilih sebagai Wakil Rakyat pada 2008, beliau telah berjanji membantu warga Kuamut yang telah sekian lama gagal mendapatkan geran tanah yang mereka duduki.

Jelasnya, keutamaan beliau adalah untuk membantu sedaya-upaya agar penduduk di kawasan Kuamut mendapat hak milik tanah yang mereka pohon.

Katanya, beliau akan membantah setiap usaha syarikat luar yang mengemukakan permohonan di kawasan itu untuk dijadikan ladang sawit kerana ia cuma menguntungkan syatikat terbabit.

Daerah Tongod, katanya, yang tersenarai antara lapan daerah termiskin di negara ini tidak sewajarnya dijadikan wilayah bagi syarikat luar meraih keuntungan sekaligus merugikan penduduk setempat.

  • oleh
  • Advertisement