Anda di sini

Kekalkan keamanan dalam apa juga keadaan

Advertisement
 Joniston (duduk, enam kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu kehormat yang hadir.
KENANGAN: Joniston (duduk, enam kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu kehormat yang hadir.

SANDAKAN: Hari Peringatan Sandakan penting dijadikan contoh dalam usaha mengekalkan keamanan berterusan kerana peperangan hanya memusnahkan manusia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, tidak dinafikan pada ketika ini, peperangan sedang berlaku di pelbagai tempat dalam dunia ini.

"Golongan muda, wanita dihantar ke medan peperangan dan kita semua tahu apa kesudahannya.

"Kita mahu memberikan penghormatan khas dan berdoa agar mereka akan kembali ke pangkuan orang tercinta dengan selamat,"  katanya ketika menyampaikan amanat pada Hari Peringatan Sandakan di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji gembira Taman Peringatan Sandakan mempunyai peranan penting terhadap kehidupan pada masa kini.

Katanya, ia merupakan usaha bersepadu kerajaan negeri, Australia, persatuan veteran, The Returned and Services League of Australia (RSL) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk menjayakan taman berkenaan.
 
"Sejak taman ini disiapkan, tapak ini berjaya menarik ramai kumpulan, pengunjung serta ahli-ahli keluarga ke Sandakan bagi memberikan penghormatan," katanya.

Katanya, Hari Peringatan Sandakan adalah hari istimewa bagi memperingati askar-askar dan penduduk setempat yang terkorban.

Menurutnya, pada 77 tahun dahulu, sekurang-kurangnya 2,400 tahanan perang Australia dan British dipenjarakan di kem tahanan daerah ini yang terletak tidak jauh dari taman peringatan itu.

Katanya, seramai 1,066 daripada jumlah itu dipaksa berjalan sejauh 260 kilometer ke Ranau yang mana ramai antaranya terkorban dalam perjalanan. Hanya enam sahaja berjaya selamat manakala selebihnya terkorban di Ranau dan kem Sandakan.

"Kisah sejarah diantara Australia, British dan Sabah adalah peringatan bahawa bukan sahaja pengorbanan dilakukan mereka tetapi juga keluarga yang kehilangan orang tersayang.
 
"Hari ini, kita bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan mereka memperingati pengorbanan ini.

"Mereka datang jauh ke Borneo Utara untuk bertempur demi melindungi kita dan negeri ini.

"Saya berbangga berpeluang untuk memberikan kata-kata untuk menghormati mereka yang terkorban...kami sentiasa mengenang jasa pengorbanan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut memuji MPS dan Lembaga Pelancongan Sabah serta jawatankuasa penganjuran atas dedikasi berterusan untuk memperingati hari bersejarah itu.
 

  • oleh
  • Advertisement