Anda di sini

Belia perlu bantu pembangunan negara

Advertisement
 Suryady (tiga kiri) ketika merasmikan HBN peringkat daerah Tawau.
RASMI: Suryady (tiga kiri) ketika merasmikan HBN peringkat daerah Tawau.

TAWAU: Belia perlu terus menunjukkan komitmen mereka bagi membantu dan membangunkan negara ini ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata belia harus memainkan peranan penting dalam menggerakkan pembangunan negara khususnya di negeri Sabah.

Katanya, populasi belia yang berumur 15 hingga 40 tahun sudah mencecah hampir separuh daripada jumlah penduduk di negara ini.

“Justeru, negara memerlukan sumbangan dan suara belia supaya pembangunan sosial serta ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik.

“Belia pada masa ini perlu berfikir di luar kotak dan berani untuk mencuba sesuatu bidang yang baharu agar negara boleh membangun seiring dengan negara-negara maju yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis perasmian Hari Belia Negera (HBN) peringkat daerah Tawau bagi tahun 2022, di sini hari ini.

Suryady yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, belia harus sentiasa proaktif serta tidak leka dan terlibat dengan masalah yang boleh memburukkan masa depan mereka.

“Ketika ini, kerajaan sudah banyak menjalankan aktiviti dan program bagi membina jati diri belia termasuklah meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Suryady berkata sambutan HBN yang diadakan di seluruh daerah adalah untuk memberi pengiktirafan dan dorongan kepada semua belia di negeri ini.

“Kita mahu memastikan semua belia tidak terpinggir, disamping memberikan motivasi serta semangat supaya mereka sedar akan peranannya kepada negara.

“HBN juga memberikan kesedaran kepada belia akan kepentingan dan peranan mereka bagi memastikan hala tuju negara berada di landasan yang terbaik,” katanya.

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang.

  • oleh
  • Advertisement