Anda di sini

Pembangunan Sarawak harus mengikut peredaran zaman: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari melakukan acara pelepasan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) di DUN Sarawak hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari melakukan acara pelepasan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) di DUN Sarawak hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan negeri mahu memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam Malaysia dengan meningkatkan pembangunan bandar dan luar bandar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia harus dilakukan mengikut peredaran zaman.

Sebab itu katanya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan beliau menekankan pembangunan jangka panjang dengan menambah nilai kepada sumber-sumber di Sarawak.

“Pada masa sama, kita perlu menetapkan hala tuju supaya Sarawak dapat membangun sebagai sebuah negeri maju yang berpendapatan tinggi.

“Inilah hasrat kita bersama, seperti mana yang saya sebutkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kalau Sarawak maju, Malaysia juga maju,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abang Johari yakin barisan pemimpin sedia ada akan menumpukan perhatian kepada kaedah pembangunan yang selari dengan peredaran zaman.

“Ini termasuk menggunakan kaedah-kaedah digital dan juga pendekatan yang akan memberikan pulangan kepada negara kita, lebih-lebih lagi Sarawak,” katanya.

Dengan ada semangat satu kumpulan, beliau percaya, Malaysia dan Sarawak akan mengecapi kejayaan pada masa hadapan.

“Malah, kita harap negara ini akan terus maju selepas tiga tahun menghadapi pandemik COVID-19,” ujarnya.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana melaksanakan pindaan Perlembagaan persekutuan membabitkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekitar hujung tahun lepas. 

Mengenai program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022, ia turut menyaksikan Abang Johari menyempurnakan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) yang akan merentasi 33 daerah di seluruh negeri ini.

Konvoi tersebut akan melalui 37 perhentian dengan jumlah jarak perjalanan sekitar 4,025 kilometer bermula dari Telok Melano hingga ke Lawas dan berpatah balik ke Betong pada 31 Ogos ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Jaafar Jantan serta tetamu kehormat lain.
 

  • oleh
  • Advertisement