Anda di sini

535 kes penipuan dengan kerugian RM21.3 juta di Sabah

Advertisement
 Jonathan (kiri) meninjau pameran PDRM pada program pencegahan jenayah dalam talian di Ranau.
LAWAT: Jonathan (kiri) meninjau pameran PDRM pada program pencegahan jenayah dalam talian di Ranau.

RANAU: Sebanyak 535 kes penipuan atas talian membabitkan kerugian mencecah RM21.3 juta bagi tempoh tujuh bulan pertama yang direkodkan di Sabah tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata jumlah ini dilihat meningkat berbanding tahun lalu yang mencatatkan kerugian RM25 juta bagi tempoh 12 bulan membabitkan 1,148 kes.

“Jumlah ini membuktikan peningkatan sentiasa berlaku saban tahun membabitkan jumlah kes dan nilai kerugian.

“Dalam usaha mengawal peningkatan kes penipuan itu, polis terus mempergiatkan tangkapan membabitkan kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Datuk Zabidi Md Zain.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin dan Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos.

Katanya bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, polis sudah menahan 679 tangkapan menbabitkan kes penipuan atas talian yang berlaku di Sabah.

Tambahnya jumlah itu ternyata meningkat berbanding 706 tangkapan bagi tempoh 12 bulan tahun 2021 dan 855 tangkapan tahun 2020.

“Walaupun pelbagai usaha siasatan, tangkapan dan pendakwaan dilaksanakan, namun masih ada lagi masyarakat yang tertipu dengan helah ‘scammer’ ini.

“Oleh itu polis akan terus meningkatkan usaha dengan melaksanakan beberapa pendekatan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 191 aktiviti kesedaran sudah dilaksanakan berbanding 156 kempen pada tahun lalu.

“Kita juga akan terus mempergiatkan usaha termasuk mengajak masyarakat supaya menjadi rakan strategik terpenting dengan slogan ‘Let’s Fight Scammer Together’,” katanya.

Katanya, beliau berharap segala ilmu yang diperolehi menerusi kempen pencegahan jenayah dapat dimanfaatkan dan dikongsikan bersama keluarga, rakan-rakan dan masyarakat agar tidak menjadi mangsa penipuan atas talian.

Sementara itu, Jonathan ketika ditemui berkata, kempen yang dianjurkan seperti ini akan dapat membantu memberi kesedaran dan pededahan kepada masyarakat.

Katanya, beliau berharap masyarakat selepas ini akan lebih celik dan berusaha mencari informasi bagi mengelakkan daripada terus menjadi mangsa penipuan atas talian.

“Masyarakat boleh membuat semakan sama ada dengan polis ataupun bank-bank terlibat sebelum sebarang tindakan diambil.

“Jangan terlalu percaya dengan orang yang membuat panggilan tanpa kita ketahui latar belakang mereka. Sekiranya perkara itu dirujuk dengan pihak berkuasa, jenayah ini akan dapat dicegah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement