Anda di sini

Keldai akaun miliki RM420 didenda RM1,500

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau tiga minggu penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki sejumlah wang RM420 secara tidak sah di dalam akaun bank miliknya. 

Leong Kah Meng, 25, mengaku bersalah apabila didakwa atas tiga pertuduhan, kesemuanya dibuat mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penalti, penjara selama tiga bulan dan denda RM500 jika sabit kesalahan.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tertuduh dari Kuala Lumpur itu untuk didenda RM500 atau seminggu penjara bagi setiap satu pertuduhan yang dihadapinya.
 
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki wang RM420 yang diperoleh secara tidak sah, selain gagal menjelaskan bagaimana dia memperoleh wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya dalam tiga kejadian berasingan, pada 17 Mei 2021 dan masing-masing pada 19 Mei 2021 di sebuah bank terletak di Jalan Tun Jugah di sini. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan polis susulan seorang wanita berusia 44 tahun (pengadu) membuat laporan polis setelah berasa dirinya diperdaya dengan pinjaman wang tidak wujud. 

Fakta kes mendedahkan pengadu terlihat iklan dalam laman Facebook berhubung pinjaman peribadi dan berminat hendak membuat pinjaman sebanyak RM5,000. 

Pengadu seterusnya berurusan dengan seorang lelaki dan memberikan butiran data maklumat milik pengadu untuk tujuan pinjaman tersebut. 

Seterusnya, pengadu diarah untuk membuat beberapa bayaran untuk membersihkan nama pengadu di syarikat pinjaman lain.

Pengadu kemudiannya membuat bayaran ke dalam sebuah akaun atas nama tertuduh secara berperingkat iaitu sejumlah RM100 pada 17 Mei 2021 dan RM160 sebanyak dua kali pada 19 Mei 2021.  

Setelah membuat pembayaran, pengadu sekali lagi telah diarahkan untuk membuat pembayaran sebanyak RM600 bagi menyelesaikan masalah pinjaman, tetapi pengadu berasa dirinya ditipu dan seterusnya membuat laporan polis.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku telah menyerahkan nombor akaun miliknya kepada seorang rakan lelakinya yang dikenali dengan nama Ah Kok bagi tujuan kemasukan wang susulan Ah Kok tidak mempunyai akaun bank.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement