Anda di sini

Permohonan EFS menurun susulan penurunan kadar kelahiran di Sarawak

Advertisement
Fatimah (tengah) menyaksikan kemudahan disediakan di TMC Sunway, Kuching sambil disaksikan Lim (kiri) dan Hu.
Fatimah (tengah) menyaksikan kemudahan disediakan di TMC Sunway, Kuching sambil disaksikan Lim (kiri) dan Hu.

KUCHING: Terdapat penurunan dalam permohonan Endowment Fund Sarawak (EFS) berikutan penurunan kadar kelahiran di negeri ini, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata, kerajaan negeri memantau kadar kelahiran di Sarawak dengan teliti memandangkan ia perlu memperuntuk dana untuk EFS bernilai RM1,000 bagi setiap bayi.

Beliau berkata, kadar kelahiran negeri ini menurun sejak 2019.

"Penurunan kadar kelahiran di Sarawak membimbangkan kita kerana ia boleh menyebabkan pertumbuhan penduduk yang perlahan di Sarawak. Pada 2019, jumlah kelahiran di Sarawak ialah 33,304 tetapi menurun kepada 31,176 pada 2020.

"Kadar sedemikian menurun lagi kepada 24,081 tahun lepas, berdasarkan jumlah kelahiran yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway dan Pusat Kesuburan Sunway di Canaan Square Business Hub, Jalan Stutong Baru di sini, hari ini.

Fatimah berkata, antara punca penurunan kadar kelahiran Sarawak ialah kelewatan wanita berkahwin kerana pengajian dan komitmen kerja.

Beliau menegaskan, usia kemuncak wanita hamil adalah antara 25 dan 35 tahun.

Beliau percaya Pusat Kesuburan Sunway akan memberi harapan kepada pasangan suami isteri khususnya yang mengalami masalah ketaksuburan.

Beliau mendapati pasangan yang mengalami masalah ketaksuburan pernah mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur dan kini mereka boleh memilih sama ada pusat baharu ini atau dua kemudahan swasta lain yang serupa di negeri ini.

"Kita kini mempunyai tiga pusat swasta termasuk Sunway untuk membantu pasangan yang mengalami masalah ketaksuburan. Sunway mula beroperasi pada Mei tahun ini," jelasnya.

Fatimah berkata, kerajaan Sarawak ingin melihat peningkatan kadar kelahiran memandangkan negeri ini memerlukan jumlah penduduk yang lebih besar untuk terus membangun.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menawarkan insentif untuk pasangan yang mendapatkan rawatan kesuburan, Fatimah berkata: "Kita perlu melihat keadaan, sama ada terdapat permintaan kritikal untuk itu."

Beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan Sarawak menawarkan insentif, namun berkata, kajian terperinci perlu dilakukan untuk menentukan keperluan tersebut.

Hadir sama Perunding Obstetrik Ginekologi Dr Edawati Dahrawi Edrus, Pengurus yang juga Pengamal Perubatan TCM Sunway Hu Kee Yie dan Pengurus Kolej Sunway Kuching Joseph Lim.
 

  • oleh
  • Advertisement