Anda di sini

Perdagangan borong, runcit catat pertumbuhan 44 peratus tahun ke tahun kepada RM132.8 bilion pada Jun

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022 dengan lonjakan besar dalam jualan kenderaan bermotor, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi yang bertambah baik itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM15.6 bilion atau 38.4 peratus kepada RM56.2 bilion, manakala perdagangan borong berkembang 19.3 peratus atau RM9.8 bilion kepada RM60.5 bilion.

"Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor melonjak 1,642.8 peratus atau RM15.2 bilion kepada RM16.1 bilion," katanya.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 2.5 peratus disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat 15.8 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata pertumbuhan lebih tinggi dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini dipacu oleh jualan kenderaan bermotor, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 2,430.2 peratus atau RM8.5 bilion kepada RM8.8 bilion.

Ini diikuti oleh alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, yang meningkat sebanyak 1,026.2 peratus; penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (+1,211.2 peratus); dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (+1,693.8 peratus).

Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 35.8 peratus, terutamanya didorong oleh kenderaan bermotor dan perdagangan runcit yang masing-masing meningkat sebanyak 1,529.9 peratus dan 31.3 peratus.

Begitu juga, perdagangan borong yang turut merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 10.7 peratus.

Bagaimanapun bagi indeks volum pelarasan musim, ia turun 2.3 peratus bulan ke bulan. - BERNAMA
 

Advertisement