Anda di sini

LASS Kota Kinabalu sasar kumpul RM200,000 pada malam amal

Advertisement
 Lydia (lima kanan), Karen (empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan selepas sidang media berkenaan.
BERI SOKONGAN: Lydia (lima kanan), Karen (empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan selepas sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Persatuan Perkhidmatan Ambulan Lions (LASS) Kota Kinabalu mensasarkan sejumlah RM200,000 dana amal untuk dikumpul sempena dengan Majlis Makan Malam Amal  serta Tarian yang bakal diadakan.

Pengerusi LASS Kota Kinabalu Lydia Lu Siew Fong berkata, majlis diadakan juga sempena ulang tahun ke-12 pertubuhan itu. Program akan dilaksanakan pada 15 Oktober 2022 di Putera Ballroom, Bukit Padang bermula jam 7 malam.

"Kita juga berterima kasih kepada Pengerusi HUAZONG Datuk TC Goh kerana menaja sejumlah 100 botol wine merah (edisi khas) berharga RM2,000 setiap satu.

"Hasil jualan amal itu akan dikumpul bersama-sama untuk mencapai sasaran yang dimahukan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiket jualan (bersama wine merah) untuk program berkenaan akan diberikan kepada pembeli sebelum 15 Oktober 2022.

Katanya, LASS Kota Kinabalu merupakan badan kebajikan khusus menyediakan kemudahan ambulan percuma kepada masyarakat di sekitar bandaraya ini.

"Selain itu, kita juga menyediakan latihan percuma bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) serta pertolongan cemas kepada orang awam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Naib Pengerusi LASS Kota Kinabalu Karen Koh berkata, pihaknya hanya mampu mensasarkan RM200,000 memandangkan semua pihak masih terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, tidak dinafikan operasi tahunan perkhidmatan ambulans sahaja mencecah kos sebanyak RM300,000.

"Kita tidak mengenakan caj bayaran kepada pesakit dan sumber pendapatan kami hanya mengharapkan daripada dana awam yang sememangnya sangat terhad.

"Oleh itu, kami berharap ramai orang awam akan tampil ke hadapan bersama-sama kami untuk menjayakan usaha murni ini," katanya.

Menurutnya, tiket akan dijual pada RM130 setiap seorang dan satu meja mempunyai lapan orang.

Karen berkata, pihaknya hanya mensasarkan 60 meja sahaja, tetapi boleh ditambahkan jumlah berkenaan sekiranya jualan tiket memberangsangkan.

Mereka yang berminat boleh berhubung terus pada talian 016 509 2220. Orang awam yang mahu menderma juga boleh membayar guna cek kepada Kota Kinabalu Lions Ambulance Service Society.

Derma atas talian kepada akaun Kota Kinabalu Lions Ambulance Service Society di Alliance Bank Malaysia Berhad (10039-001-007-2611).

Mereka yang menderma boleh mengemukakan slip pembayaran untuk mendapatkan resit rasmi pengecualian cukai.

  • oleh
  • Advertisement