Anda di sini

10 pemain MRSM Mukah lengkapkan pasukan ragbi Zon Sarawak

Advertisement
Pasukan MRSM Mukah dalam satu sesi fotografi ketika Kejohanan Ragbi MRSM Zon Sarawak yang berlangsung sejak Jumaat lalu dan tamat hari ini.
Pasukan MRSM Mukah dalam satu sesi fotografi ketika Kejohanan Ragbi MRSM Zon Sarawak yang berlangsung sejak Jumaat lalu dan tamat hari ini.

MUKAH: Sepuluh pemain ragbi daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah melengkapi pasukan Zon Sarawak yang bakal berentap pada kejohanan peringkat kebangsaan di MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang pada 2 hingga 6 September depan.

Menurut penasihat pasukan ragbi MRSM Mukah Safwan Razali, mereka akan dibahagikan kepada dua pasukan mewakili MRSM Zon Sarawak.

"MRSM Zon Sarawak bakal menghantar dua pasukan dalam peringkat kebangsaan nanti," katanya kepada Utusan Borneo.

Sementara itu, 12 pemain daripada MRSM Kuching dan enam lagi daripada MRSM Betong bakal melengkapi senarai pemain bagi kedua-dua pasukan.

Mengenai Kejohanan Ragbi MRSM Zon Sarawak yang berlangsung sejak Jumaat lalu dan tamat semalam, pasukan MRSM Kuching merangkul gelaran juara dalam kedua-dua kategori lelaki dan perempuan. 

Manakala pasukan MRSM Mukah mendapat naib johan diikuti MRSM Betong di tempat ketiga.

Pemain terbaik lelaki dinobatkan kepada Muhammad Nasrullah dan Manisha Elaine dari MRSM Kuching sementara pemain harapan dianugerahkan kepada Sylvester Jinggoh dan Elliana Marcella daripada MRSM Mukah.

Majlis penutupan rasmi kejohanan telah disempurnakan Pengetua MRSM Mukah Zuraida Zaidi kelmarin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Mukah (PMU) Iskandar Reduan, Pengetua MRSM Kuching Junaidi Julam, Pegawai Sukan PMU Jeremy Luguh dan Michael Ting mewakili Sibu Division Rugby Union (SDRU).

Advertisement