Anda di sini

Warga pendidik harus fahami dasar kerajaan

Advertisement
Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang IPG Kampus Rajang 2021 bersama Ding (tengah, barisan belakang) dan Dr Abang Ismail (kiri, barisan belakang) di Sibu malam Khamis.
Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang IPG Kampus Rajang 2021 bersama Ding (tengah, barisan belakang) dan Dr Abang Ismail (kiri, barisan belakang) di Sibu malam Khamis.

SIBU: Warga pendidik sebagai ejen perubahan kerajaan memainkan peranan penting untuk memperjelas dan menyebarluaskan perkembangan politik terkini serta dasar kerajaan kepada masyarakat peringkat akar umbi.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, warga pendidik harus mengetahui perkembangan terkini politik dan dasar negara dan Sarawak. 

"Guru mesti memahami pelbagai dasar kerajaan dan bekerjasama secara harmoni dengan kerajaan negeri agar objektif sebenar kerajaan membantu rakyat menjadi realiti," ujarnya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang (IPGKR) di sini malam Khamis.

Ding berkata, kerajaan sentiasa turun padang mendekati dan memahami keperluan rakyat terutama di kawasan luar bandar yang menjadi fokus utama. 

"Kerajaan negeri Sarawak bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan dan menyokong dasar-dasar memberi manfaat kepada negeri ini. 

"Kerajaan sentiasa menyokong mana-mana dasar baik untuk negeri ini dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi membantu rakyat serta melindungi negara dan rakyat," jelasnya.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama kerajaan Sarawak berganding bahu seiring dalam usaha membantu menaik taraf sekolah daif di Sarawak. 

"Di peringkat kerajaan Sarawak, peruntukan USNT (Ubah Suai Naik Taraf) melibatkan pembinaan beberapa sekolah baharu. 

"Peruntukan ini dapat membantu mengatasi masalah sekolah daif di Sarawak terutama melibatkan fasiliti sekolah, bangunan tidak sempurna, bangunan tidak selamat digunakan yang mendatangkan ancaman, bahaya berbentuk kecederaan, kecelakaan atau kehilangan nyawa.

"Sebagai wakil rakyat di kawasan Meradong ini, saya juga berusaha membantu mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Sarawak bagi menaik taraf IPG Kampus Rajang menjadi sebuah institut setaraf dengan institusi lain dalam negara. Anggaran peruntukan akan dibincang dan diusahakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Ding berharap kejayaan penerima APC menjadi pemangkin kepada rakan-rakan sekerja lain untuk terus berusaha lebih gigih pada masa akan datang. 

Hadir sama Pengarah IPG Kampus Rajang Dr Abang Ismail Abang Julhi, Timbalan Pengarah IPG Kampus Rajang Salahuddin Mohamed Nor@Nor dan Ketua Unit Khidmat Pengurusan Adib Farhan Sapian.
 

  • oleh
  • Advertisement