Anda di sini

Hujan lebat, hentikan kerja tanah buat sementara waktu elak banjir kilat

Advertisement
Tiong (tengah) bersama beberapa pegawai meninjau kerja-kerja berkaitan di persimpangan Jalan Pesisir Bintulu-Miri.
Tiong (tengah) bersama beberapa pegawai meninjau kerja-kerja berkaitan di persimpangan Jalan Pesisir Bintulu-Miri.

BINTULU: Kerja-kerja tanah dan pembersihan oleh kontraktor di kawasan seluas lebih 100 ekar di beberapa lokasi di sini perlu dihentikan sementara bagi mengelak insiden banjir kilat dalam keadaan hujan lebat berterusan.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), LAKU Management dan Sarawak Energy perlu mengadakan satu mesyuarat untuk membincangkan dan mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah tersebut.

Katanya, pihak berkenaan perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat dengan segera terutama membabitkan banjir kilat.

"Masalah ini perlu diselesaikan segera dan mendapat sokongan semua pihak supaya kejadian banjir kilat dapat ditangani bersama," katanya semasa meninjau keadaan banjir kilat di kawasan persimpangan Jalan Pesisir Bintulu-Miri hari ini.

Tinjauan itu turut disertai Pegawai Kawalan Alam Sekitar Bahagian Bintulu Sinanawati Martin, Jurutera JKR Bahagian Bintulu Lau Pit Hwa, Pegawai Tadbir (Tanah) Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Bintulu Ahmad Razlan Yaiyah, Pemangku Pengurus (Undang-Undang) David Jugah Solomon dan Juruteknik JPS Bahagian Bintulu P'ng Ching Chuang.

Hujan lebat di sini sejak Khamis menyebabkan kawasan terbabit dilanda banjir kilat sekali gus menyebabkan beberapa kenderaan tersekat.
 

  • oleh
  • Advertisement