Anda di sini

Sabah, Batik Air sedia kerjasama buka laluan penerbangan baharu

Advertisement
 Jafry (depan, dua kiri) merakamkan kenangan bersama kakitangan Batik Air selepas pertemuan itu.
PERTEMUAN: Jafry (depan, dua kiri) merakamkan kenangan bersama kakitangan Batik Air selepas pertemuan itu.

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sedia bekerjasama dengan syarikat penerbangan Batik Air untuk membuka laluan penerbangan terus dari Indonesia ke Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, dengan adanya pembukaan laluan penerbangan baharu itu nanti, kementerian berhasrat untuk membangunkan Sabah sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

Menurutnya, Sabah mempunyai destinasi pelancongan kesihatan yang berkualiti dan khidmat penjagaan kesihatan bertaraf tinggi.

Sehubungan itu, beliau yakin tepat pada masanya untuk negeri ini menyasarkan destinasi pelancongan kesihatan dengan mempromosikan kemudahan terkini yang ditawarkan hospital khususnya kepada pasaran Indonesia. 

"Sabah harus memanfaatkan sepenuhnya trend semasa pelancongan kesihatan memandangkan setiap pelancong perubatan berpotensi berbelanja lebih tinggi berbanding pelancong biasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Kapten Mushafiz Mustafa Bakri bersama Pengurus Besar Batik Air Muhammad Ariff Abdul Aziz dan beberapa kakitangan syarikat penerbangan terbabit di Glenmarie Kuala Lumpur semalam.

Jafry berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya membincangkan beberapa laluan penerbangan terus ke Sabah yang berpotensi untuk dibuka dari Indonesia antaranya Pontianak, Balikpapan dan Kalimantan.

Menurutnya, menerusi rantaian nilai dan industri pelancongan kesihatan, ia pastinya akan membuka peluang kepada pelancong untuk menerokai lokasi pelancongan berkonsepkan 'Nature Healing' yang ada di Sabah.

"Ini kerana Sabah terkenal dengan keindahan alam semulajadi, flora dan fauna yang mampu memberi impak positif khususnya dalam proses penyembuhan.

"Justeru, diharap laluan penerbangan terus ini akan dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat memandangkan lokasi Sabah dan kemudahan akses dari segi laluan penerbangan antara faktor penting untuk menarik pengunjung daripada negara jiran datang ke negeri ini," jelasnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement