Anda di sini

Tingkatkan kawalan sempadan, usaha kekang rasuah pemerdagangan manusia

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kawalan sempadan negara perlu diperketatkan dengan memperbaiki segala kelemahan yang ada, khususnya isu berkaitan rasuah bagi mengelak negara ini dijadikan sasaran kegiatan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa.   

Aktivis hak asasi manusia, Datuk Dr Madeline Berma berpendapat sekiranya langkah tegas tidak diambil dengan membaiki sistem sedia ada dan membiarkan sikap ketidakpedulian masyarakat mengenai isu pemerdagangan manusia berterusan, tidak mustahil penemuan kubur besar yang melibatkan warga Rohingya di Wang Kelian, beberapa tahun lepas boleh berulang.

Berdasarkan kepada pengamatannya, Madeline yang juga merupakan Felo Akademi Sains Malaysia, berkata antara faktor Malaysia menjadi negara sasaran bagi sindiket pemerdagangan manusia adalah kerana wujud kelemahan sistem yang boleh dimanipulasi oleh sindiket terbabit.

“Jika dilihat sekiranya faktor ekonomi dan keamanan menjadi faktor Malaysia dipilih menjadi lokasi pendatang asing ini, mengapa mereka tidak memilih untuk pergi ke negara jiran kita yang lebih kaya? Mengapa mereka memilih untuk ke sini?

“Ini melihatkan terdapat faktor lain yang menyebabkan mereka memilih ke sini dan mereka (sindiket ini) melihat terdapat kelompongan di dalam sistem akibat rasuah dan mereka ambil kesempatan daripada situ,” katanya kepada Bernama pada sesi wawancara khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Madeline, yang juga merupakan Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), berkata adalah mustahil penyeludupan manusia secara beramai-ramai itu begitu mudah boleh melepasi sempadan negara yang dikawal rapi oleh agensi penguatkuasa yang mempunyai aset dan latihan lengkap.

Menyatakan bahawa isu pemerdagangan manusia perlu dipandang serius kerana ia membabitkan hak asasi manusia dan keselamatan negara, beliau berpandangan gejala penyeludupan manusia di negara ini berlaku antara lain kerana wujud rasuah dan ia dilihat sebagai suatu perniagaan yang menguntungkan. 

Katanya perjalanan kumpulan berkenaan yang melepasi beberapa negara lain dengan mudah untuk ke Malaysia juga menunjukkan sindiket yang beroperasi mempunyai rangkaian meluas di beberapa buah negara lain.

Kehendak rakyat Malaysia yang mahukan barangan pada harga murah juga merupakan antara pendorong negara ini menjadi lokasi pemerdagangan manusia kerana terdapat permintaan terhadap golongan berkenaan daripada pihak industri terutamanya industri yang memerlukan banyak tenaga buruh tidak terlatih.

“Malah terdapat beberapa syarikat besar tempatan yang terlibat dalam industri kelapa sawit dan sarung tangan perubatan telah ditahan barangan mereka di pelabuhan luar negara kerana terdapat unsur buruh paksa dan pemerdagangan manusia,” katanya.

Menurutnya situasi sedemikian telah memberikan gambaran buruk terhadap imej negara kerana dianggap tidak serius dalam menangani isu berkenaan sehingga diletakkan pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Manusia 2021.

Madeline berkata untuk membaiki imej negara dalam isu itu, semua pihak, individu, masyarakat dan keluarga perlu memainkan peranan masing-masing, menjalinkan kerjasama dan tidak menyalahkan antara satu sama lain.

Katanya setiap individu di negara ini mempunyai tanggungjawab terhadap individu yang lain dan perlu ke depan serta mengambil berat jika melihat atau mengetahui sesuatu yang tidak betul berlaku di kawasan kejiranan mereka atau di tempat kerja mereka.

“Di peringkat komuniti pula, program-program kesedaran berkaitan dengan rasuah pemerdagangan orang perlu dibanyakkan agar orang ramai cakna dengan isu ini dan agensi kerajaan pula perlu lebih serius dalam menangani masalah ini dengan pengenalan polisi-polisi dan undang-undang yang lebih tegas,” katanya.

Menurut Madeline media tempatan turut mempunyai tanggungjawab besar untuk memupuk kesedaran masyarakat dalam isu berkaitan selain melaporkan kejadian atau isu melibatkan pemerdagangan manusia agar masyarakat faham betapa seriusnya perkara ini.

Beliau berkata agensi kerajaan juga tidak boleh lagi bekerja dalam silo atau secara berasingan kerana hanya kerjasama erat antara agensi kerajaan dapat menangani isu berkenaan dan mampu memperbaiki kedudukan negara dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Manusia pada masa akan datang.

"Kerjasama agensi penguat kuasa lain dan rakyat amat penting untuk membendung isu ini. Perkara ini tidak seharusnya diletakkan di bahu SPRM sahaja. Rakyat harus menjadi mata dan telinga SPRM dan perlu tampil membuat aduan sekiranya isu seumpama ini berlaku di sekeliling," katanya. - BERNAMA 

Advertisement