Anda di sini

Pusat Penyelidikan Melanau disaran terus fokus sejarah, sosioekonomi, budaya rumpun Melanau

Advertisement
Abdul Yakub (baris depan, duduk, tiga kanan) bersama yang lain selepas perasmian seminar tersebut di UiTM Kampus Mukah Selasa lalu.
Abdul Yakub (baris depan, duduk, tiga kanan) bersama yang lain selepas perasmian seminar tersebut di UiTM Kampus Mukah Selasa lalu.

MUKAH: Kekayaan adat, budaya serta setiap perkara berkaitan sesuatu kaum merupakan khazanah yang harus terus dipelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, Pusat Penyelidikan Melanau (PPM) harus terus fokus tentang sejarah, sosioekonomi dan budaya Melanau. 

"PPM dilihat sungguh komited sejak penubuhan dalam memainkan peranan utamanya iaitu untuk memfokuskan perkara berkaitan kaum Melanau," katanya ketika perasmian Seminar Negeri Melanau Tua Siri Dua – Edisi Balingian di Dewan Kuliah Tellian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah Selasa lalu.

Kerjasama dengan Persatuan Melanau Mukah (PMM) dan Persatuan Generasi Melanau Balingian (PGMB) ini akan menggalakkan aktiviti sosial dan budaya serta pemahaman lebih baik dalam kalangan masyarakat Melanau bagi melonjakkan dan mengukuhkan kedudukan komuniti Melanau dalam masyarakat Sarawak.

Menurutnya, paling utama adalah usaha berterusan bagi memelihara identiti kaum tersebut. 

Justeru, beliau berharap penganjuran program seperti itu dapat diteruskan dan diperbanyak persatuan Melanau di kawasan Mukah, para penggiat seni, budaya serta warisan Melanau mahupun institusi pendidikan agar generasi akan datang terus melestarikan sejarah serta budaya masyarakat Melanau.

Usaha-usaha seperti itu dilihat mampu memantapkan peranan universiti iaitu bukan sekadar salah satu pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan namun menjadi platform jalinan serta kerjasama bersama masyarakat tempatan yang menghasilkan pelbagai manfaat. 

Beliau turut difahamkan sesi seminar dan dialog akan diteruskan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di seluruh bahagian Mukah.

Lokasi seterusnya adalah Igan, Matu, Daro serta Belawai dan Tanjung Manis.

Seminar Negeri Tua Melanau Siri Satu – Edisi Mukah telah diadakan pada 28 Mac lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah Profesor Madya Dr Saimi Bujang, Pensyarah Kanan ACIS UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2 Ustaz Wan Ariffin Wan Yon, Bendahari PMM Pengiran Saifudzin Pengiran Mahtar, Setiausaha PGMB Abdul Zaid Jahui dan Ketua Projek Seminar Melanau Tua Siri 2 Mohamad Musa Bohari.
 

  • oleh
  • Advertisement