Anda di sini

Permohonan KSTI tambah menara baharu wajar

Advertisement
SUHAIMI
SUHAIMI

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Suhaimi Nasir menyokong permohonan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah untuk menambah pembinaan menara baharu.

Suhaimi berkata, permohonan yang tidak termasuk dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu sangat wajar bagi memantapkan lagi prasarana tersebut di Sabah.

Katanya, permohonan itu dilihat akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini agar dapat menerima kemudahan akses stabil dengan kelajuan jalur lebar yang lebih baik.

“Saya difahamkan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan telah mengemukakan permohonan penambahan pembinaan menara baharu yang tidak termasuk peruntukan JENDELA fasa 1.

“Kementerian itu turut mencadangkan subsidi penggunaan data percuma bagi tempoh satu hingga enam bulan di kawasan yang terlibat,” katanya dalam pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini kelmarin.

Menurutnya, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (K-KOMM) juga telah bersetuju membawa semula cadangan pemasangan 300 VSAT di Sabah tahun ini untuk kelulusan pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC).

Bagaimanapun, katanya, semua inisiatif pembangunan infrastruktur digital ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak bagi memudah cara proses kelulusan projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan.

“Dengan kerjasama yang erat, masalah ini dapat diatasi secara tuntas dan meletakkan kembali pembangunan jaringan komunikasi di landasan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, pelaksanaan JENDELA fasa 1, sebanyak 125 daripada 538 buah menara baharu yang dirancang telah siap dibina sehingga suku pertama tahun 2022.

Katanya, Sebanyak 3,395 buah menara telah dinaiktaraf kepada perkhidmatan 4G daripada 3,656 buah menara yang dirancang.

“Manakala bagi inisiatif perluasan perkhidmatan jalur tetap, sebanyak 122,707 premis telah dipasang daripada 311,192 premis yang dirancang.

“Bagi projek jalur lebar satelit pula, sebanyak 138 buah telah dirancang untuk dipasang di kawasan luar bandar dan terpencil,” katanya.

Suhaimi menjelaskan sebagai usaha melengkapkan program JENDELA, KSTI Sabah telah memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 24 lokasi.

  • oleh
  • Advertisement